ZIZI Kirana dan Yusuf Bahrin.
ZIZI Kirana dan Yusuf Bahrin.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana, 36, tidak menafikan dia kini rapat dengan pelakon Yusuf Bahrin, 29, dan tidak menolak sekiranya mereka ditakdirkan ada jodoh.

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil berkata, dia sudah dua bulan berkawan dengan Yusuf dan menyenangi keperibadiannya.

"Kami mula berkawan sejak dua bulan lalu dan terbabit sama dalam program All Together Now. Kami tak bercakap pun tapi mula bertegur menerusi Instagram pada Aidiladha lalu.

"Namun, sepanjang berkawan ini, kami tak pernah berjumpa pun. Hanya berhubung menerusi telefon saja. Sejujurnya, saya selesa dengan Yusuf. Dia seorang yang lembut tutur bicaranya dan baik," katanya.

Penyanyi lagu Eh itu bagaimanapun enggan meletakkan sebarang status terhadap hubungan mereka buat masa ini.

Baginya, dia serahkan saja soal jodoh itu kepada Allah.

"Soal jodoh ini, saya serah kepada Allah. Insya-Allah kalau ada jodoh, Alhamdulillah. Tapi kalau tak ada, kami tetap kawan.

"Saya tak nak letakkan sebarang status apabila membabitkan soal hubungan. Takut nanti letak harapan dan kecewa. Apa-apa pun, doa yang baik-baik," katanya.

Terdahulu, Yusuf juga ada memanggil Zizi sayang sewaktu dalam sesi Instagram Live, baru-baru ini. Ia sekali gus menimbulkan teka-teki dalam kalangan netizen sama ada mereka kini bercinta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 4:58 PM