ANTARA penyanyi yang terbabit dalam projek berkenaan.
ANTARA penyanyi yang terbabit dalam projek berkenaan.
Najiy Jefri

Sempena Hari Kemerdekaan yang ke-64 dan Hari Malaysia, syarikat produksi muzik tempatan, CTONE Studio mengambil inisiatif melancarkan projek dikenali Patriot Bangsa Malaysia.

Menerusi projek ini, sebuah lagu tribute berjudul Malaysia Ku Tercinta ciptaan enam komposer iaitu Alif Azhari, Encik Mattao, Faisal Firdaus, Ezad Shazrul, Faliq Fauzi dan Safiza Afian berjaya menggabungkan 20 penyanyi baharu yang berbeza latar belakang kerjaya.

Menariknya lagi, sebahagian besar daripada 20 penyanyi ini juga adalah anggota petugas barisan hadapan selain pernah tular di media sosial serta pernah menyertai program realiti di beberapa buah stesen televisyen tempatan.

Mereka terdiri daripada Adzham Adnan, Alif Azhari, Aniq Muhai, Dean, Jaria, Jaswan Abdullah, Jesyln Khoo, Aiman Sidek dan Encik Mattao.

Turut memberi sokongan adalah peserta dari Kilat Idol 2019 iaitu Mohd Azad, Faisal Firdaus, Khai Sani, Lutfi Voice of Men, Ajude, Sinar Rahman, Norzie, Ebba Khan, Ieqa, Yura Reduan serta Kajol Zuraidah.

Menurut Alif Azhari, dia teruja apabila semua penyanyi ini sudi bekerjasama dan meluangkan masa memandangkan ada di antara mereka sibuk dengan kerja dan komitmen menjaga keselamatan negara dan kesihatan masyarakat.

"Patriot Bangsa Malaysia adalah nama sebuah projek inisiatif dari kami, CTONE Studio dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dalam menghasilkan karya seni muzik dalam bentuk audio video.

ALIF harap lagu Malaysia Ku Tercinta dapat beri semangat kepada rakyat Malaysia.
ALIF harap lagu Malaysia Ku Tercinta dapat beri semangat kepada rakyat Malaysia.

"Projek ini adalah salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami di mana bakat-bakat baharu akan diketengahkan dalam sebuah lagu yang bertemakan kenegaraan dan patriotisme di samping menambah karya-karya terkini dalam industri muzik negara," katanya.

Menurut Alif, dia yang juga komposer dan salah seorang penyanyi dalam lagu Malaysia Ku Tercinta mengakui berhadapan dengan pelbagai cabaran berikutan lagu itu dirakam dan dihasilkan secara berasingan.

"Setiap penyanyi yang terbabit perlu menghantar audio nyanyian mereka sendiri. Namun, cabaran itu yang menjadi tarikan dalam projek Patriot Bangsa Malaysia sebelum barisan komposer bekerjasama menggabungkan kesemua suara menjadi sebuah lagu yang akan menyuntik semangat patriotrisme pendengar.

"Syukur, komitmen dan kerjasama semua peserta dan pihak produksi, kami dapat menghasilkan sebuah lagu patriotik baharu untuk diabadikan dalam industri muzik walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Harapan kami sebagai produksi, komposer dan penulis lagu untuk semua pendengar, semoga lagu ini memberi suntikan semangat untuk rakyat Malaysia dan menjadi harapan untuk menempuh satu era yang lebih sihat dan positif.

"Moga terus tabah dan kuat dalam mengharungi pandemik yang semakin berleluasa. Pastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sayangi Malaysia tercinta" katanya.

Lagu Malaysia Ku Tercinta terbitan CTONE Studio dengan kerjasama MY Music Lab Records, Pondok Rahmat Project, Badan Amal Darul Mustafa dan MY Cyber Studios kini boleh dilayari di laman YouTube CTONE Studio Channel sejak 28 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:15 AM