'Buskers' yang bernaung dibawah Seniman Muslim.
'Buskers' yang bernaung dibawah Seniman Muslim.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemilik Maahad Tahfiz Riyadhul Jannah, Haslam Shariff merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa mempertimbangkan semula kebenaran untuk pemuzik jalanan bekerja.

Menurutnya, sampai bila pemuzik jalanan perlu 'dikurung' sedangkan mereka juga mempunyai pelbagai komitmen termasuk menyara keluarga.

"Saya mengharapkan agar satu bentuk garis panduan khas dikeluarkan oleh kerajaan bagi membolehkan penggiat seni mendapatkan saluran untuk meraih pendapatan.

"Tak dinafikan banyak alternatif yang diambil oleh anak seni seperti penghibur jalanan yang menggunakan platform media sosial untuk buat persembahan bagi meraih pendapatan menerusi sumbangan orang ramai.

"Namun, ia tidak praktikal bagi 'buskers' yang bergerak secara berkumpulan apabila mereka tak dapat berkumpul bersama ketika membuat persembahan secara dalam talian?" katanya.

Menerusi pusat tahfiz kendaliannya, Haslam mengumpulkan penyanyi seperti Isa Gravity, Wom UG14, Boy Spoon dan 10 lagi artis lain yang bergabung di atas nama Seniman Muslim serta sebelum ini bebas bergerak mencari rezeki secara 'busking' di setiap pasar raya besar.

Mereka juga bekerja secara tetap sebagai kakitangan Maahad Tahfiz Riyadhul Jannah dan menerima gaji bulanan.

"Saya mengakui pihak KKMM ada menyalurkan bantuan kepada pemuzik-pemuzik yang dah lama bertapak dalam industri hiburan.

"Namun difahamkan bantuan itu hanya terhad kepada sesuatu permohonan yang berjaya dan berpandukan kepada bajet yang tersedia.

"Agak menyedihkan golongan 'buskers' menerima impak yang cukup besar, tapi nasib mereka jarang dipedulikan berbanding penggiat seni kreatif yang lebih beruntung apabila menerima pelbagai bantuan dan dana dari kerajaan," katanya.

Haslam mengakui bersyukur apabila sebilangan 'buskers' diberi kebenaran membuat persembahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), tetapi jumlahnya amat terhad berbanding bilangan mereka yang ramai.

"Dah sampai masanya kerajaan melihat satu mekanisma ataupun kaedah yang sesuai bagi aktiviti 'buskers' berkumpulan.

"Bagi saya sendiri, sebelum ini Seniman Muslim akan buat persembahan secara 'busking' sambil buka tabung untuk membantu dapatkan kos pembiayaan anak-anak asnaf bagi tajaan yuran belajar mereka.

"Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana akibat Covid-19, punca pendapatan mereka secara tak langsung terjejas dan saya ambil inisiatif membantu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 7:05 PM