BAKAT baharu, Ahmad Adly tampil pertaruh single Nota Hasratku.
BAKAT baharu, Ahmad Adly tampil pertaruh single Nota Hasratku.
Norhayati Nordin


UNTUK mencapai sesuatu impian bukan mudah. Apatah lagi, kita perlu berurusan dengan manusia yang semestinya mempunyai ragam dan niat tersendiri.

Kisah kawan makan kawan dan penipuan ini perkara biasa dalam kehidupan.

Lumrah sikap manusia yang tidak sempurna sering membuat ramai tersasar dari tujuan hanya untuk kesenangan.

Bagi penyanyi baharu, Ahmad Adly tidak mudah untuk dia mencuba nasib mengetengahkan bakat sebagai insan seni.

Katanya, dia pernah menjadi mangsa penipuan individu dikenali yang dianggap rakan.

"Walaupun saya perlu menghadapi kerugian kewangan kerana ditipu oleh individu itu, ia sama sekali tidak melunturkan semangat saya untuk mengejar impian sebagai penyanyi.

"Mungkin bukan rezeki saya walaupun individu berkenaan sudah menjanjikan bulan dan bintang. Namun, ia sebenarnya hanya cakap kosong semata-mata. Realitinya, saya ditipu dan sudah ditikam dari belakang. Hilang segala kepercayaan terhadapnya, tapi sayang dia tidak berasa apa-apa dan berlagak seperti biasa sampai sekarang," katanya.

Berkat kesabaran Adly itu akhirnya terbalas apabila dia hadir dengan single solo ciptaan komposer dan penyanyi, Yonnyboi berjudul Nota Hasratku.

Lebih menarik, Nota Hasratku turut dipilih menjadi lagu tema untuk drama Lelaki Pendosa yang bakal ditayang TV3 tidak lama lagi. Justeru, Adly berharap ia sinar baharu buatnya.

Berbicara perjalanan awalnya menceburi industri seni, Adly atau nama sebenarnya Ahmad Adly Sofwan Ahmad Azli berkata, dia mula mengatur langkah sebagai penyanyi sejak 2017.

Katanya, dia juga pernah menghasilkan beberapa lagu untuk pengenalan, namun tidak mendapat perhatian sehingga dia menyertai program Lagu Cinta Kita musim kedua.

"Alhamdulillah, cuma apa saya harapkan sekarang single Nota Hasratku ini mendapat sambutan positif daripada pendengar. Saya sudah membuat yang terbaik untuk lagu ini.

"Ditambah pula, Nota Hasratku mengisahkan pengalaman saya sendiri dalam industri muzik. Bagi saya, tidak salah untuk sampaikan secebis kisah jatuh dan bangun diri sendiri sebelum dapat bergelar penyanyi.

"Dari peristiwa ditipu kerana sifat naif yang tidak tahu selok-belok dalam bidang nyanyian, saya kini bersyukur dapat membina nama dan bakat dalam kerjaya ini atas usaha sendiri," katanya.

Nota Hasratku kini sudah dilancarkan di semua platform digital dan YouTube Indigital Music secara rasmi pada 6 Ogos lalu dengan kerjasama padu daripada Alternate.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 6:45 AM