PENYANYI berbilang bangsa persembahkan lagu We Are One bangkit semangat rakyat Malaysia.
PENYANYI berbilang bangsa persembahkan lagu We Are One bangkit semangat rakyat Malaysia.
Najiy Jefri


BERSEMPENA sambutan Hari Kebangsaan ke-64, syarikat produksi Kumpulan Multimedia menerbitkan lagu berjudul We Are One.

Lagu patriotik itu juga dihasilkan bagi membangkitkan semangat rakyat Malaysia memerangi penularan pandemik Covid-19.

Istimewanya, lagu ciptaan Teng Bee ini, ia dinyanyikan 15 artis berbilang kaum iaitu Iman Troye, Jack Lim, Han Xiiao Aii, Ariff Bahran, Priscilla Abby, Yise Loo, Firdhaus, Juztin Lan, Layla Sania, Pauline Tan, Henley Hii, Jie Ying, Daphne Low, Ztish El Nino dan Nadia Pang.

Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Datuk Steven Lim berkata, lagu We Are One mendapat inspirasi daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit menyampaikan bantuan makanan dan keperluan harian kepada kru industri kreatif yang terjejas akibat Covid-19 dan percaya pandemik ini dapat ditangani dengan sokongan antara satu sama lain.

WE Are One diyanyikan 15 penyanyi berbilang kaum.
WE Are One diyanyikan 15 penyanyi berbilang kaum.

"Bukan mudah untuk melawan pandemik Covid-19 seorang diri. Hanya dengan bersatu padu baru kita dapat mengharungi tempoh sukar ini.

"Lagu We Are One menyampaikan mesej supaya semua lapisan masyarakat berganding bahu, bersikap berani dan positif berdepan cabaran pandemik," katanya.

Menurut Lim, lagu ini tersedia untuk semua media dan saluran televisyen untuk dikongsi dan disiarkan.

Katanya, We Are One sebagai pembakar semangat kepada orang ramai supaya tidak berputus asa terhadap cabaran dihadapi.

TENG Bee teruja menyiapkan lagu We Are One.
TENG Bee teruja menyiapkan lagu We Are One.

Sementara itu, Teng Bee berkata, keadaan industri perfileman dan televisyen yang terjejas teruk akibat pandemik membuatkan dia terus bersetuju untuk mencipta We Are One ketika dilamar Multimedia untuk menghasilkan lagu berkaitan pandemik Covid-19.

"Ketika menjadi sukarelawan program prihatin Multimedia untuk membantu rakan seperjuangan terjejas, saya melihat sendiri kesusahan dan kesedihan yang mereka terpaksa lalui.

"Situasi itu menjadi inspirasi mencipta We Are One untuk memberitahu orang ramai bahawa semangat perpaduan adalah kekuatan," katanya.

Menurut pengarah ini lagi, We Are One yang dinyanyikan dalam tiga bahasa berjaya mendapat sokongan daripada 15 artis berbilang bangsa dan ini menunjukkan semangat perpaduan semua kaum. Ini juga menandakan usaha rakyat dalam memerangi pandemik.

"Sebenarnya pandemik ini dapat memberi inspirasi kepada penggiat seni untuk mencipta karya. Diharapkan mereka dapat menggunakan bakat menghasilkan karya bagi menaikkan semangat petugas barisan hadapan, masyarakat dan mereka yang terjejas," katanya. .

Muzik video We Are One boleh ditonton menerusi saluran YouTube Multimedia Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 6:10 AM