Syafil Syazwan Jefri


SAMA seperti tahun lalu, tahun ini kita sekali lagi akan menyambut Hari Kemerdekaan dalam pandemik Covid-19.

Namun, semangat kemerdekaan itu akan terus mekar dalam jiwa kita dan seiring dengan itu, Media Prima Berhad mengajak rakyat Malaysia untuk bangkit dan tabah berhadapan cabaran ini menerusi Kempen Kita Malaysia #BaikSemula.

Kempen ini juga diserikan lagi dengan kehadiran video muzik lagu temanya, #BaikSemula yang diaktifkan semula selepas dilancarkan pada awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya berharap kehadiran lagu versi baharu ini dapat mengubat duka dan membangkitkan semangat kenegaraan kita semua.

"Seiring dengan Kempen Kita Malaysia #BaikSemula, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) mengaktifkan semula lagu #BaikSemula ciptaan Faizal Tahir yang kami perkenalkan awal tahun ini.

"Muzik video #BaikSemula versi baharu dihasilkan untuk memberi lebih impak dalam menyemarakkan kempen ini dan ia boleh ditonton di YouTube Alternate Records & Talents bermula hari ini.

"Kami yakin lagu boleh mengubati duka, boleh membangkitkan semangat dan memberi harapan kepada semua.

MALAM #BaikSemula tampilkan pengacara, Nabila Huda, AG dan Fara Fauzana.
MALAM #BaikSemula tampilkan pengacara, Nabila Huda, AG dan Fara Fauzana.

"Sama-sama kita sebagai rakyat Malaysia berdiri kukuh untuk masa hadapan negara. Percayalah kita pasti dapat mencapai imuniti kelompok dan keadaan akan baik semula tidak lama lagi,

" katanya.

Bagi memeriahkan lagi kempen dalam normal baharu ini, pelbagai program disediakan buat segenap lapisan penonton.

"Sepanjang tempoh kempen ini, pelbagai genre program menarik disusun dari berita, keagamaan, bual bicara, majalah sehingga ke drama untuk memberi inspirasi dan menyuntik semangat ke dalam sanubari kita," katanya.

Antara program menarik yang bakal disajikan adalah Malam #BaikSemula yang akan menampilkan barisan pengacara, Nabila Huda, AG dan Fara Fauzana, ditayangkan pada 28 Ogos bermula jam 10 malam.

Lagu #BaikSemula menggabungkan barisan penyanyi hebat tanah air iaitu Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju K-Clique berjaya mencuri tumpuan ramai sejak ia dilancarkan.

Dalam video muzik versi baharu ini, ditekankan mengenai semangat dan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang komited menggalas tugas masing-masing dan usaha komuniti yang menghulurkan bantuan segera kepada mereka yang terkesan.

Ia juga menyuntik semangat dan memberi harapan kepada rakyat Malaysia bahawa kita pasti akan baik semula dengan menyahut saranan untuk mendapatkan vaksin dan amalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kehidupan harian.

Selain itu, kempen ini juga turut mendapat kerjasama daripada platform digital TikTok dalam menyebarkan semangat dan inspirasi kepada seluruh masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:30 AM