SITI Sarah Raissuddin.
SITI Sarah Raissuddin.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pengurus Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Nana Mohamad Rom mendedahkan penyanyi itu seorang yang sangat suka bersedekah selain membantu mereka yang memerlukan.

Menurut Nana dari syarikat rakaman Indigital Music, Allahyarham juga sentiasa berusaha membantu golongan dasar dalam diam dan tidak mahu perkara itu dihebahkan.

Malah isteri kepada pelawak Shuib yang itu pernah membantu rakan dalam industri dan pengikut di media sosial dalam meringankan beban mereka.

"Dia paling suka menderma, selalu menderma sana-sini. Kalau ada orang mesej di Instagram perlukan bantuan dia akan bantu. Tapi Sarah tak suka orang tahu dan tak mahu bercerita. Tapi kita pihak pengurusan tahu mengenai perkara ini.

"Paling terbaharu, sebelum dia menaiki ambulans untuk ke hospital, dia pindahkan wang  pada satu akaun miliknya kepada ibu tirinya dan minta ia disedekahkan. Sebelum ditidurkan, dia ada minta pembantunya ambil semua produk tudung keluaran untuk disumbangkan kepada jururawat di hospital itu," katanya.

Dalam masa sama, Nana berkongsi penyanyi Kesetiaan itu tidak pernah memiliki sebarang sejarah penyakit kronik.

"Dia tak ada sebarang penyakit. Dia sangat menjaga pemakanan, semasa kuarantin dia selalu dapatkan rujukan doktor peribadi.

"Sepanjang tempoh kuarantin di rumah, memang saya telefon setiap hari. Dia kata keadaan dia okay sahaja dan minta saya jangan risau.

"Tapi pada hari kelapan dia beritahu kena pergi hospital sebab oksigen menurun. Ketika itu dia mula ada simptom batuk-batuk. Awalnya dia fikir itu gejala biasa sebab tinggal dua hari untuk potong gelang kuarantin," katanya.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.

Siti Sarah juga selamat melahirkan bayi dalam kandungan yang ketika itu berusia tujuh bulan menerusi kaedah pembedahan. Bayi lelaki juga anak keempat itu diberi nama Ayash Affan.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011.

Selain Ayash Affan yang kini masih dipantau di HCTM, mereka turut memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia 6 tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 2:52 PM