TELATAH Amsyar meniru ton suara penyanyi terkenal Malaysia mencuit hati peminat.
TELATAH Amsyar meniru ton suara penyanyi terkenal Malaysia mencuit hati peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS videonya yang mempunyai keunikan meniru suara penyanyi terkenal Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Nabila Razali dan Elizabeth Tan tular di media sosial, bakat baharu dikenali Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri atau mesra disapa Amsyar Leee kini mengorak langkah melancarkan single pertamanya berjudul Tak Mungkin.

Tidak dinafikan aksi Amsyar meniru suara barisan penyanyi popular terbabit, berjaya membuatkan netizen terhibur dengan telatahnya yang bersahaja.

Menerusi lagu Tak Mungkin itu, pemuda lulusan Diploma Seni Teater dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana yang berasal dari Selama, Perak ini bekerjasama dengan komposer berkaliber iaitu Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh. Manakala, lirik lagu pula ditulis oleh Ikhwan Fatanna.

Amsyar berkata, proses rakaman lagu mengambil masa empat jam untuk disiapkan sepenuhnya.

"Namun, sebelum itu, saya sempat menghadiri beberapa kelas vokal bersama pengajar muzik, cikgu Afif Tirmizie untuk mengenal pasti alunan vokal sebenar saya.

"Saya jadikan pengikut saya di media sosial sebagai semangat untuk saya kembangkan bakat seni yang ada ini melalui lagu saya sendiri.

"Bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila saya dapat juga peluang untuk melancarkan single pertama, Tak Mungkin ini dan sekali gus menghiburkan pengikut saya di media sosial," katanya.

Menurut Amsyar, dia turut berharap supaya pendengar muzik tanah air dapat menerima bakat nyanyian dimilikinya yang mempunyai alunan vokal tersendiri persis suara wanita dalam lagu berkenaan.

KINI tampil dengan single pertama berjudul Tak Mungkin.
KINI tampil dengan single pertama berjudul Tak Mungkin.

"Semestinya ini adalah satu anugerah istimewa yang ada pada diri saya dan amat yakin ia mampu membawa saya mengorak langkah lebih jauh dalam industri muzik tempatan.

"Bukan semua orang boleh meniru pelbagai jenis suara dalam bentuk nyanyian dan saya bertuah kerana ada kelebihan ini," katanya.

Amsyar juga mengakui amat berterima kasih dan terhutang budi kepada pengikutnya di media sosial yang banyak menyokong selama ini.

"Mereka setia bersama saya sejak empat tahun lalu. Dari saya tidak mempunyai pengikut yang ramai sehingga sekarang.

"Saya tak mungkin berada di tahap ini jika tiada sokongan daripada mereka,"katanya.

Lagu Tak Mungkin yang berentak balada mengisahkan mengenai seseorang yang baharu mengenal apa itu erti cinta.

Single terbitan Permata Muzik Records dan edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:35 AM