KEADAAN Fazli kian stabil. FOTO Ihsan Fazli Zainal
KEADAAN Fazli kian stabil. FOTO Ihsan Fazli Zainal
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Keadaan penyanyi, Fazli Zainal yang ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19 kian stabil.

Fazli ketika dihubungi berkata, bagaimanpun hari ini badannya sedikit tidak lemah atau tidak bermaya berbanding sebelum ini.

"Hari ini, saya rasa lemau sedikit. Tak tahu kenapa, bangun pagi tadi rasa lemau. Mungkin kerana suhu dalam wad yang sangat sejuk pada waktu malam dan bila siang baru mula panas.

"Setakat ini, saya masih lagi menggunakan 'double oxygen'. Tapi, doktor maklumkan tahap oksigen saya sudah semakin meningkat antara 90 hingga 93 peratus.

"Doktor harap angka ini dapat dikekalkan untuk memastikan saya stabil," katanya kepada Harian Metro.

Bagi memastikan diri bertenaga, Fazli memaksa dirinya untuk makan buah-buahan.

"Saya paksa diri untuk makan buah. Kalau tak, tak ada tenaga susah juga untuk cepat sembuh," katanya.

Penyanyi lagu Harapan dan Sejuta Nafas Cinta itu juga mengucapkan terima kasih kepada sahabat handai dan semua yang mendoakannya dan menganjurkan majlis bacaan Yassin.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua. Doakan saya," katanya.

Terdahulu, pada 31 Julai lalu, Fazli dikejarkan ke Hospital Ampang selepas tahap oksigennya menurun sehingga 75 peratus.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 4:04 PM