Eric Fuzi
Eric Fuzi
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Floor 88 yang juga pemain keyboard, Eric Fuzi mengakui sudah dua bulan dia tiada sumber pendapatan. 

Eric berkata, dia kini hanya mengharapkan duit simpanan yang dikumpul untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Tiada siapa yang tidak terkesan dalam waktu sukar seperti ini. Cuma, apa yang membezakan adalah jumlah kerugian sama ada besar atau kecil. 

"Sejujurnya saya sudah dua bulan tiada sumber pendapatan. Saya hanya bergerak dengan apa saja simpanan yang saya ada selama ini," katanya ketika ditemui secara maya bagi mempromosikan telefilem Hutang 2D. 

Menurut Eric, biarpun terkesan sepanjang pandemik Covid-19, namun dia enggan memikirkan masalah yang berlaku sebagai satu beban apatah lagi, meminta belas kasihan orang.

"Jika diikutkan duit simpanan yang ada mungkin dapat tampung sekitar sebulan setengah saja lagi memandangkan komitmen bulanan yang perlu saya lunaskan agak tinggi. 

"Dalam masa sama, saya juga berdepan cabaran untuk mengekalkan perniagaan MASOK Foodcourt yang diusahakan bersama rakan anggota Floor 88 yang lain. 

"Selama ini saya tak pernah minta bantuan, malah sekrang ini pun  saya tak minta mana-mana bantuan. Cuma, apa yang saya suarakan ini adalah bagi menjawab pertanyaan media terhadap keadaan saya sekarang. 

"Bagi saya, selagi ada kudrat saya akan terus bekerja walaupun perniagaan saya juga terjejas kerana MASOK Foodcourt ini direka sebagai salah satu tempat lepak orang ramai di tengah bandar Kuala Lumpur. 

"Saya enggan merungut dalam keadaan sekarang kerana saya percaya satu Malaysia sedang mengalami masalah sama. Jadi, sama-sama kita berusaha dan mengharapkan negara segara pulih dari wabak Covid-19 ini," katanya. 

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 9:00 PM