Achey dan ibunya.
Achey dan ibunya.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Dugaan demi dugaan terus menimpa pelawak dan penyanyi, Achey Bocey apabila yang terbaharu ibu tercinta, Ngaisah Hassan,73, serta dua lagi adik-beradiknya disahkan positif Covid-19. 

Achey berkata, keputusan ujian saringan Covid-19 yang diterima hari ini mendapati mereka positif wabak berjangkit itu sekali gus perlu menjalani proses kuarantin di rumah. 

"Pagi tadi saya dimaklumkan mak, abang dan kakak disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani proses kuarantin di rumah. Mereka kini, ditempatkan dalam dalam satu bilik supaya abang dan kakak dapat memantau mak.

"Setakat ini, mak berada dalam keadaan yang baik dan terkawal walaupun dia baharu saja disahkan mengalami masalah di sepanjang saluran pankreas dan hempedu. Cuma, sekarang ini terdapat gejala yang dialami seperti demam dan cirit-birit. 

"Satu demi satu dugaan berlaku, tapi saya anggap ini sebagai satu ujian Allah. Namun, saya perlu positif untuk menguruskan mereka. Jadi, saya bersama isteri akan menyediakan segala keperluan mereka. 

"Mujurlah ada isteri di sisi yang boleh membantu saya dalam keadaan kedua-dua tangan saya yang masih belum pulih akibat kemalangan yang berlaku sebelum ini," katanya lagi. 

Menurut Achey, dia mengakui sedikit ralat apabila tidak dapat membantu untuk menguruskan proses vaksinasi buat ahli keluarganya. 

"Buat masa ini operasi perniagaan yang diuruskan keluarga terpaksa dihentikan untuk proses sanitasi. 

"Cuma apa yang saya ralat sekarang ini kerana tak sempat nak bantu mereka dapatkan vaksin lebih awal. Iyalah risau juga dengan keadaan mereka yang sibuk berniaga di luar dan berjumpa orang ramai. 

"Tapi, saya faham sekarang ramai yang sudah ada kesedaran untuk mendapatkan vaksin dan perlu menunggu giliran untuk proses ini. Cuma, ralat tak dapatkan vaksin awal dan sekarang mereka disahkan positif Covid-19," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 5:17 PM