Foto Mawar menyerahkan peralatan kegunaan hospital sumbangannya kerana menunaikan nazar. FOTO INSTAGRAM MAWAR RASHID
Foto Mawar menyerahkan peralatan kegunaan hospital sumbangannya kerana menunaikan nazar. FOTO INSTAGRAM MAWAR RASHID
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Mawar Rashid menunaikan nazarnya dengan menyumbangkan beberapa peralatan perubatan kepada dua hospital selepas dia dan keluarga kini sembuh daripada Covid-19.

Mawar ketika dihubungi berkata, kedua-dua hospital itu adalah Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

"Untuk menunaikan nazar ini, saya sumbangkan 15 tangki oksigen, lima troli untuk tangki oksigen dan lima alat pengatur tekanan (pressure regulator) untuk Hospital Selayang.

"Manakala di Hospital Ampang pula, saya sumbangkan empat pembahagi (divider) dan lima oksimeter," katanya kepada Harian Metro.

Namun begitu, jumlah sumbangannya itu tidak mencukupi untuk melengkapkan barang yang diperlukan pihak hospital dan membuat kutipan menerusi media sosial.

"Jumlah yang saya belanjakan tidak mencukupi memandangkan pihak hospital juga memerlukan dua unit troli pengangkat bernilai RM35,000 setiap satu. Jadi, saya terfikir untuk mengumpul dana.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada rakan-rakan antaranya Eyra Hazali, Zoey Rahman, Nurin Afiqah, Sha Hassan, Aleeya Zailan dan Zarina Anjouli sebab sama-sama membantu ketika saya buat siaran langsung di media sosial.

"Jadi, kami berjaya mengumpul lebih RM74,000. Terima kasih juga kepada pengikut-pengikut yang sudi menyumbang. Saya sangat menghargainya," katanya.

Selain sedang mencari pembekal troli pengangkat dengan harga yang sesuai, Mawar juga berusaha mendapatkan alat penghangat untuk bayi.

"Saya dah hubungi pihak hospital untuk memesan dua troli pengangkat tapi, stok itu tidak ada di Malaysia dan perlu menunggu selama lapan hingga 10 minggu. 

"Untuk stok sedia ada pula, harganya adalah RM52,000. Jadi, kami sedang berbincang untuk mencari pembekal dengan harga lebih kurang RM35,000.

"Pihak hospital mencadangkan agar saya belikan satu unit troli pengangkat dan satu unit penghangat untuk kegunaan bayi-bayi, anak kepada pesakit Covid-19," katanya.

Apapun, Mawar berharap agar sumbangannya dapat memberikan kemudahan kepada pihak hospital dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 1:45 PM