Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Gara-gara difitnah dan diaibkan di media sosial, pelawak dan pengacara sensasi, Shuk Shar, 35, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, di sini terhadap bekas kekasihnya dikenali Fara Salleh, semalam.

Peguam yang mewakili Shuk iaitu Haziq Aizuddin Subhi berkata, tekanan demi tekanan yang diterima menyebabkan Shuk dan isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah yang mesra disapa Sera enggan berdiam diri.

"Semalam, saya bersama Shuk dan Sera berada di Balai Polis Setapak untuk membuat laporan polis terhadap Fara Salleh yang didakwa melemparkan beberapa tuduhan terhadap Shuk di akaun peribadi media sosialnya. 

"Kes ini telah dibawa untuk siasatan lanjut di Balai Polis Pudu. Pasangan itu membuat laporan susulan tuduhan dan ugutan daripada Fara kerana terdapat dakwaan yang didedahkan adalah bertujuan memfitnah dan  menjatuhkan imej serta reputasi Shuk"

"Shuk dan Sera juga sedang dalam proses untuk memfailkan saman fitnah memandangkan tindakan yang dilakukan wanita terbabit jelas mencalarkan imej Shuk dan disifatkan satu penganiayaan," katanya. 

Haziq yang mewakili firma guaman Tetuan Haziq A Subhi & Co memaklumkan, pihak polis akan bekerjasama dengan Surahanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung laporan yang dibuat Shuk itu.

"Shuk baru saja menghubungi saya dan memaklumkan pihak polis akan bekerjasama dengan SKMM untuk menyiasat akaun Instagram Fara yang didakwa memuat naik nombor telefon peribadi Shuk di media sosial dan juga butiran maklumat lain yang boleh menjadi kesalahan bawah akta yang berkaitan."

"Pihak kami juga dalam proses mengumpul segala bukti lanjut dan paparan skrin lain sekiranya ada berkenaan perkongsian Fara yang dilaporkan menuduh serta memfitnah Shuk di Instagramnya kerana ini bukan saja berkait soal maruah, reputasi dan imej, tetapi ia juga membabitkan soal keselamatan keluarga Shuk."

"Saya memohon semua pihak untuk memberikan sedikit ruang kepada Shuk dan isteri menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu. Mereka kini sangat tertekan dengan segala isu yang berlaku termasuk insiden lain seperti menerima panggilan tidak dikenali yang mengganggu mereka," katanya. 

Terdahulu Fara mendedahkan satu salinan laporan polis berhubung dakwaan kes cabul membabitkan pelawak itu di media sosial miliknya. 

Malah, Fara turut berkongsi perbualannya dengan indvidu itu yang mendakwa dicabul pada Februari lalu di sebuah hotel di Bukit Bintang.

Fara juga didakwa memuat naik sebuah video yang memperlihatkan seorang lelaki dipercayai Shuk tidak berpakaian berada di sebuah bilik hotel. Namun, perkongsian itu sudah dipadamkan.

Untuk rekod, Fara adalah individu yang sama dikaitkan menjalinkan hubungan dengan Shuk sekitar Julai tahun lalu. 

Terdahulu, Shuk mendirikan rumah tangga dengan Sera pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 8:07 PM