ISMAN semasa menjalankan tugas sebagai Mutawif.
ISMAN semasa menjalankan tugas sebagai Mutawif.
Ridzuan Abdul Rahman


LEBIH dikenali bersama kumpulan Hijjaz, Isman Isam kini tampil dengan single solo berjudul Ijabah yang bermaksud perkenankan.

Isman yang terkenal menerusi lagu-lagu hit ciptaannya seperti Kasih Kekasih dinyanyikan Inteam dan Hanya Tuhan Yang Tahu (UNIC) berkata, ada peristiwa menarik berlaku di sebalik penghasilan lagu yang liriknya dihasilkan oleh Isman bersama UMI atau dikenali Ustaz Izzat.

"Ceritanya agak sedih ketika saya bergelar Mutawif untuk jemaah umrah di Tanah Suci Makkah pada Februari, tahun lalu. Ketika itu, urusan kerja saya memang padat dari pagi sampai malam.

"Suatu hari, ketika waktu Isyak ada jemaah sakit dan saya kena uruskan beli ubat dan makanannya. Saya tak sempat solat di Masjidil Haram dan berniat nak solat di bilik.

"Apabila jemaah itu dah okey makan dan makan ubat semua, saya balik ke bilik jam 12 tengah malam. Selepas mandi, saya rasa bersalah kerana dah pergi Masjidil Haram tapi rasa rugi tak solat di situ," katanya.

Isman bercerita lagi, dia kemudian bergegas bersiap dan pergi semula ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat isyak.

"Suasana ketika itu agak lengang. Saya terus solat dan selepas itu berdoa kepada Allah. Saya minta kemaafan dari Allah dan memohon pada-Nya agar terima doa saya.

"Dari situlah terbit ilham untuk hasilkan lagu ini. Saya dapat melodi serta sinopsis dan apabila balik ke Malaysia baru dapat disiapkan sepenuhnya.

"Kebetulan selepas saya balik, kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, jadi saya ambil peluang siapkan lagu ini sehingga sempurna," katanya.

Isman berkata, dia mulanya mahu merakamkan lagu dihasilkan itu bersama Hijjaz, namun mereka mencadangkan agar dia cuba tampil secara solo.

"Inilah ketikanya untuk saya tampil mempamerkan bakat nyanyian secara solo selepas lama bersama Hijjaz.

"Kebetulan sebahagian umat Islam masih belum dibenarkan ke Tanah Suci, jadinya lagu ini sangat sesuai dikeluarkan untuk orang yang rindukan Kaabah, Makkah dan Madinah," katanya.

Isman turut gembira apabila syarikat MVM Production sudi mengedarkan single nyanyiannya itu.

"Ia bermula apabila saya hantar 'master' untuk single terbaharu Sarah Suhairi berjudul Kau Yang Bertakhta.

"Pengarah Urusannya, Bratt Pua tanya sekiranya saya ada lagu untuk diedarkan. Apabila saya beritahu memang ada single solo, dia terus tertarik untuk terima," katanya.

Ditanya perkembangan kumpulan Hijjaz, Isman berkata, mereka hanya mengadakan persembahan secara maya sekiranya ada.

"PKP adalah ujian Allah kepada kita. Bukan kami sahaja terkesan, tapi semua pihak pun sama. Jadi, kita kena bersangka baik dengan Allah kerana tetap ada kebaikan yang kita tak tahu di sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:44 AM