RANCANG lancar lagu baharu dalam tahun ini.
RANCANG lancar lagu baharu dalam tahun ini.
Georgie Joseph


TERKURUNG dan terbatas pergerakan melakukan sebarang aktiviti luar pastinya menekan ramai orang pada masa sekarang. Demikian juga yang dirasai penyanyi Nabila Razali, 28, apabila segala aktiviti seninya tergendala sejak beberapa bulan lalu.

Namun begitu, penyanyi lagu Peluang Kedua ini mengambil pendekatan untuk terus berfikiran positif dan kentalkan semangatnya untuk mengharungi hari-hari sukar. Baginya, dia perlu benar-benar memastikan kesihatan mentalnya terjaga rapi.

Bagaimanapun, Nabila beruntung kerana dia tinggal bersama keluarga tercinta. Akan tetapi, baginya kelebihan itu pun bukan jaminan selamat untuk dia mengelak berhadapan gangguan mental kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Justeru, dia sedaya-upaya melakukan apa saja yang bermanfaat demi memastikan setiap hari-hari dilaluinya dengan bersemangat. Nabila juga mengakui beruntung, dikelilingi insan yang tidak putus membantu memberinya semangat dan ia hal paling disyukuri.

"Kesihatan mental adalah sangat penting bagi saya. Memang sukar untuk lakukan apa jua perkara, jika mental kita terganggu dan kurang sihat. Ada masa, kita juga perlu kosongkan minda, tidak terlalu meluangkan masa menghadap telefon, atau hal lain yang tak menyihatkan

"Sebaiknya, kita perlu pastikan apa yang dilihat dan dibaca memberi kebaikan dan bukannya memudaratkan minda. Tidak dinafikan, sekarang apa juga yang kita ikuti menerusi laman sosial banyak memberi aura negatif.

"Ini berikutan, pelbagai isu hangat sedang diperkatakan dan begitu menekan. Ia akan mengacau kesihatan mental, jadi pastikan apa yang dibaca memberi manfaat kepada kesihatan mental, bukannya buat jiwa kacau," katanya.

Disebabkan tiada sebarang aktiviti luar rumah dibenarkan, Nabila mengakui keluarga sajalah tempatnya bergantung untuk menghilangkan rasa bosan. Jadi, dia sedaya upaya membabitkan diri sekiranya ahli keluarga melakukan sebarang aktiviti di rumah.

"Saya tinggal bersama keluarga, serta ada anak saudara yang sering menjadi peneman. Jika saya malas, mereka akan tarik saya untuk mengajar dan bermain, jadi tidak bosanlah saya berkurung dalam rumah.

NABILA tidak mahu serap aura negatif daripada laman sosial.
NABILA tidak mahu serap aura negatif daripada laman sosial.

"Namun ada kalanya memang saya akan memberi ruang peribadi kepada diri sendiri. Maklum saja, bukan setiap waktu kita rasa ingin berteman dan perlu bersendirian juga pada masa-masa tertentu," katanya.

Ditemui pada acara santai secara maya, BeauRaya baru-baru ini, dia juga cukup teruja sekali-sekala melepas rindu meskipun menerusi platform sebegitu. Nabila bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aishah dan Hawa Rizwana berkongsi topik pemerkasaan wanita.

Dalam pada itu, Nabila juga tidak sabar untuk kembali rancak dengan kerjaya seninya apabila kelonggaran sudah dibenarkan kelak. Menurutnya, paling dinanti semestinya perancangan untuk hasilkan lagu baharu.

Lebih menggembirakan, dia sudah memiliki sebuah karya yang baginya begitu mengujakan selepas lama tercari lagu tepat dengan jiwanya. Menurut Nabila, dia berhasrat melancarkan lagu terbabit pada tahun ini juga.

"Saya sebenarnya sangat seronok kerana akhirnya menemui sebuah karya yang cukup kena dengan jiwa untuk dijadikan single baharu. Sekarang rasanya sudah masanya untuk lancarkan single terkini selepas kali terakhir, Peluang Kedua.

"Jika nak buat album, mungkin masih jauh lagi perjalanan saya. Insya-Allah, cukuplah dapat lancarkan single terbaharu dulu. Saya mengharapkan semoga pendengar terus menyokong single terbaharu saya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:10 AM