Pasangan Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila. FOTO Instagram
Pasangan Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila. FOTO Instagram
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Isteri penyanyi Lan Solo iaitu Nur Sheila Hassim meluahkan perasaannya berdepan kecaman dan caci maki pelbagai pihak akibat dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap penyanyi Siti Nordiana.

  Menerusi Instagram Story, Sheila mengakui sudah menjangkakan luahan mereka dimanipulasi dan tindakan berbuat demikian kerana provokasi yang dimulakan.

   "Saya manusia biasa dan punya perasaan bila asyik diasak soalan-soalan provokasi yang saya kadang-kadang tak mampu nak kawal. 

   "Setahun lebih kami mencari dan minta penjelasan kenapa kami diperlakukan begini. Senyap...sunyi...sepi," katanya.

   Sheila turut menulis mengenai beberapa perkara yang dipercayai rentetan yang membawa kepada isu yang berlaku.

   "Panggilan dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan Direct Mesej (DM) juga disekat. 'Ekstra effort' apa lagi yang perlu kami lakukan? 

   "Rumah? Ada sekuriti...dan bukan boleh suka-suka keluar ke mana-mana. Kami cuma mahukan penjelasan mengapa? Kalau tak buat, kenapa tak jelaskan? Malah terus menghilangkan diri," katanya.

   Menurut Sheila, dia juga terserempak pengurus Siti Nordiana atau mesra disapa Nana ketika di bank, namun individu berkenaan terus bertindak menghilangkan diri lagi. 

   "Kami cuma mahukan penjelasan. Saya sedia beri kerjasama jika apa yang saya mulakan akan berakhir dengan kecaman. 

   "Tapi tak adil untuk kami. Mungkin perbuatan kami dianggap terang-terangan...bagaimana pula perbuatan di belakang-belakang?," katanya. 

   Sheila mendedahkan pihak Nana hanya menyatakan meminta permohonan maaf terbuka dalam tempoh masa 24 jam kepada media, tapi tidak menjelaskan ia berserta jumlah wang RM200,000 yang perlu dibayar mereka. 

  "Kami sedia beri kerjasama. Kalaulah nilai RM1 juta itu adalah bayaran sebuah persahabatan," katanya.

   Sheila turut mempersoalkan sikap Nana yang menutup semua ruang perbincangan dan sebaliknya, menggunakan orang tengah dalam hal terbabit. 

   Isu tercetus apabila nama Nana disebut dalam sesi bicara langsung di Instagram penyanyi Lan Solo, Sheila, Syura, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin pada 20 Julai lalu.

   Nana kemudian melantik firma guaman dari Tetuan Abang Azlan & Associates yang diwakili peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin dan meneruskan tindakan saman terhadap kelima-lima individu itu selepas tiada permohonan maaf secara terbuka seperti yang dituntut. 

   Tuntutan saman akan difailkan kepada mereka selewat-lewatnya 2 Ogos ini.  

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 7:34 PM