Fara Fauzana
Fara Fauzana
Oleh Georgie Joseph


Petaling Jaya: Penyampai Fara Fauzana, 41, mengakui teruja namun pada masa sama gementar apabila kembali menyertai Hot FM dan mengendalikan segmen Geng Pagi Hot (GPH) bersama AG serta Fad Bocey bermula hari ini.

Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil berkata, dia berjanji akan tampil dengan pembaharuan dan corak penyampaian lebih mantap sejajar kehendak terkini pendengar.

Dia turut membuat ulangkaji intensif untuk memastikan penyampaian dan isi kandungan yang akan diberikan relevan dengan kehendak pendengar masa kini.

"Selepas mendapat tawaran untuk kembali bersama Hot FM, saya sangat teruja tapi dalam masa yang sama gementar untuk bersama pendengar terutama sekali untuk mengetahui penerimaan mereka terhadap saya.

"Hot FM akan tampil dengan wajah baharu dan hala tuju lebih segar. Mungkin sebelum ini sasaran pendengar adalah golongan muda, tetapi dengan hala tuju baharu, ia mensasarkan pendengar lebih meluas dan kepelbagaian penyampai juga.

"Semestinya ada benda baharu perlu saya belajar kerana kehendak pendengar sentiasa berubah. Bersama pihak pengurusan, kami sedang giat mengatur strategi memastikan pengisian bermula 2 Ogos ini adalah yang terbaik," katanya.

Berehat selama lima tahun selepas meninggalkan Hot FM pada 2016, Fara jelas rindu mahu ke udara. Baginya, jiwa serta cintanya terhadap bidang itu tidak pernah berubah.

"Minat dan cinta saya terhadap penyiaran radio tak pernah hilang. Sebelum ini saya dipanggil menyertai stesen radio lain dan saya terima kerana masih ingin bersama dengan pendengar radio sebab saya rasa lebih rapat dengan mereka bila ke udara.

"Alhamdulillah, saya terima banyak komen positif dan sokongan daripada semua pihak, termasuk pengurusan, keluarga, rakan media dan tak lupa daripada pendengar Hot FM selepas ke udara pada hari pertama di Hot FM.

"Saya bersama AG dan Fad akan menjanjikan sesuatu yang lebih segar dan baharu, istimewa buat pendengar-pendengar setia Hot FM," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Nazri Noran berkata, pemilihan AG, Fara dan Fad amat bertepatan dengan hala tuju dan pengisian baharu Hot FM.

"Perubahan yang dilakukan bertujuan mendorong pertumbuhan positif, meningkatkan tahap relevan jenama supaya terus berdaya saing dalam pasaran. Pemilihan Fara Fauzana pula semestinya melengkapkan lagi segmen pagi Hot FM.

"Bakat dan auranya memang tidak boleh dipertikaikan dan ini dapat dilihat menerusi komen-komen positif yang kami terima daripada pendengar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 5:13 PM