HABSAH HASSAN
HABSAH HASSAN
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan, 72, dan suaminya, Mohamed Jusoh, 74, disahkan positif Covid-19 semalam dan kini dirawat di pusat perubatan di Petaling Jaya.

Anak mereka, Shazmeen Mohamed, 45, ketika dihubungi Harian Metro berkata, ibunya kini dirawat di pusat perubatan itu sejak malam tadi, manakala bapanya menjalani kuarantin di rumah.

Shazmeen berkata, selain ibu bapanya, dia bersama dua anak dan seorang adiknya turut disahkan positif virus itu kerana mereka tinggal serumah dan kini perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menurut Shazmeen, ibu bapanya sudah tidak sihat sejak dua minggu lalu.

"Mereka hanya duduk di rumah dan tidak keluar ke mana-mana pun. Tapi, apabila mereka tiba-tiba kurang sihat dan kami juga ada membuat ujian calitan Covid-19 di rumah dan keputusannya negatif.

"Bagaimanapun, ibu dan ayah masih demam. Kami bawa pula buat pemeriksaan di beberapa klinik sehingga pada Isnin lalu, mereka dibawa buat pemeriksaan kesihatan di hospital kerana ibu mengalami mengah dan sukar bernafas.

"Justeru, doktor mencadangkan kami buat ujian calitan Covid-19 dan keputusannya ibu bapa saya disahkan positif, semalam. Ibu terus dimasukkan ke hospital malam tadi untuk rawatan lanjut dan bapa pula hanya kuarantin di rumah," katanya.

Shazmeen berkata, dia sekeluarga dan adiknya memang tinggal bersama ibu bapanya.

"Dalam rumah ada sembilan orang dan hanya tiga daripada kami yang negatif. Keadaan saya, anak dan adik okay tapi saya sekarang tiada deria bau dan rasa.

"Insya Allah, saya sekeluarga serta ibu dan ayah termasuk adik akan kuat menghadapi dugaan ini. Kami tak sangka dijangkiti Covid-19. Apapun, mohon doakan kesihatan ibu dan bapa saya agar sembuh segera," katanya.

Ditanya mengenai keadaan Habsah, Shazmeen berkata, dia dimaklumkan keadaan ibunya ada menunjukkan tanda pulih walaupun doktor memberi bantuan oksigen untuk bernafas.

Katanya dia bersyukur ibu bapanya sudah mendapat vaksin lengkap.

Terdahulu, berita duka dikongsi salah seorang anak Habsah iaitu Leen Mohd di media sosial meminta orang ramai yang mengenalinya mendoakan kesembuhan buat ibu bapanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 4:33 PM