ERMA FATIMA
ERMA FATIMA
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, pengarah dan penerbit, Erma Fatima memohon kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya tidak menganaktirikan industri seni kreatif dan menghidupkan semula industri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Erma berkata, kita perlu belajar untuk hidup bersama virus ini memandangkan ia nampaknya semakin meruncing.

"Saya mohon kepada kerajaan dan MKN supaya berlaku adil kepada industri seni kreatif kerana industri kita ini tidak besar mana.

"Kita sudah tak ada masa untuk lari atau menyorok. Dalam situasi sekarang, kita kena cari jalan untuk hidup dengan virus ini dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, industri seni kreatif tidak pernah muncul dengan sebarang kluster jangkitan sepanjang tempoh pandemik ini berlaku di negara ini.

"Sampai bila orang industri kita tak boleh bekerja? Kita tak pernah wujud sebarang kluster lagi. Ada kru yang dihalau keluar dari rumah dan terpaksa merempat.

"Apa salah kami berbanding industri lain? Kalau penggambaran pun, maksimum 30 orang saja," katanya.

Erma juga memohon pihak terbabit supaya mengkaji cara kerja penggiat dalam industri seni kreatif sebelum melaksanakan sesuatu SOP.

"Sebelum melaksanakan sesuatu SOP, kali dulu bagaimana cara kerja kita. Bukan sewenang-wenangnya meletakkan peraturan yang nampak tidak masuk akal.

"Ibaratnya, seperti diizinkan (untuk bekerja), tapi sebenarnya tidak diizinkan," katanya.

Selain Erma, beberapa penerbit dan pengarah tempatan juga sebelum ini berkongsi pendapat sama bagi menghidupkan semula industri seni kreatif tanah air.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 5:37 PM