Siti  Nordiana.
Siti Nordiana.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba nama penyanyi popular Siti Nordiana disebut-sebut pada sesi siaran langsung di Instagram membabitkan penyanyi Lan Solo, Syura, isteri Lan iaitu Sheila, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin, semalam.

Difahamkan wujud konflik sehingga mereka mengambil pendekatan tidak mengikuti di akaun Instagram Siti Nordiana.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana ketika dihubungi mengakui tidak tahu menahu mengenai perkara itu selain sudah menyerahkan perkara itu kepada peguam.

"Apa saja yang mereka bincang, cakap dan luahkan saya tidak tahu apa-apa. Saya dapat tahu perkara ini pun daripada orang lain. Saya tidak mahu ulas panjang.

"Saya juga sudah serahkan perkara ini kepada peguam untuk diteliti bagi tindakan selanjutnya. Selebihnya, biarlah. Saya tak pernah cakap apa-apa pun," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, pada sesi itu Shiela meluahkan rasa terkilan apabila suaminya, Lan dikatakan menumpang populariti Siti Nordiana.

Malah, sesi itu juga menjadi tempat semua mereka meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini membabitkan konflik yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 4:56 PM