Fizo Omar.
Fizo Omar.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya bergurau saja," kata pelakon Fizo Omar mengenai hantaran dimuat naik di Instagram yang seolah-olah memberi bayangan bakal menamatkan zaman duda hujung tahun ini.

Menerusi status yang dimuat naik bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-36, Fizo menyediakan jawapan sebelum ditanya peminat dan pengikutnya di laman sosial.

"Sebelum semua tanya bila nak kahwin, Abe Joe jawab siap-siap. Insya-Allah hujung tahun," katanya.

Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, dia akan berkongsi berita gembira itu jika benar dia bakal berkahwin sekali lagi.

"Tidaklah nak kahwin hujung tahun ini. Saya sekadar bergurau sahaja. Mungkin benar kahwin hujung tahun, tapi tahun bila, saya sendiri pun tak tahu.

"Kalau jodoh sudah sampai, saya akan maklumkan kepada semua orang. Setakat ini, belum lagi. Apapun, saya mohon doa daripada orang ramai untuk kembali membina masjid. Insya-Allah," katanya.

Sebelum ini, Fizo pernah digosipkan bercinta dengan pelakon Azar Azmi selepas memuat naik beberapa hantaran yang memperlihatkan keakraban mereka.

Terdahulu, Fizo mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mawar Abdul Karim pada 2013 namun bercerai 2019. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Wan Maryam yang kini berusia tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 4:54 PM