Wajah Layla menghiasai papan iklan di Times Square.
Wajah Layla menghiasai papan iklan di Times Square.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Layla Sania, 19, meluahkan rasa teruja dan tidak pernah menyangka wajahnya akan menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat menerusi kempen Equal yang dianjurkan platform penstriman muzik Spotify.

Layla berharap agar kempen ini dapat dijadikan inspirasi buat pemuzik wanita untuk melakukan sesuatu bagi mengubah dunia.

"Saya benar-benar bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada Equal oleh Spotify. Ini sangat bermakna bagi saya sebagai penyanyi.

"Saya amat terharu dan saya harap ini boleh dijadikan inspirasi kepada pemuzik wanita di luar sana.

"Kita mempunyai kekuatan untuk mengubah dunia, tidak kira siapa diri kita dan tidak kira di mana sahaja kita berada," katanya.

Menurutnya, menjadi salah seorang artis yang terbabit dalam projek ini dan muncul di papan iklan digital di Amerika Syarikat bukanlah satu perkara yang dijangkakannya dalam karier seni.

"Saya tak pernah membayangkan melihat diri saya di papan iklan digital di Times Square, New York City sama seperti Yuna dan barisan artis wanita antarabangsa yang lain.

"Saya amat berterima kasih kepada Spotify kerana memilih saya menjadi wakil pemuzik Malaysia dalam kempen Equal ini," katanya.

Layla adalah penyanyi muda dari Malaysia yang pernah melancarkan single pertamanya dalam Bahasa Mandarin berjudul By Your Side pada Januari lalu.

Layla adalah wakil Equal Malaysia dan Singapura dan terbabit dalam projek ini di samping 34 artis mewakili 50 negara yang lain.

Sebelum ini, papan iklan digital Times Square New York juga pernah dihiasi wajah penyanyi kelahiran Malaysia, Yuna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 10:33 AM