Shilpa Shetty bersama suaminya.
Shilpa Shetty bersama suaminya.
Agensi

Mumbai: Suami pelakon Shilpa Shetty, Raj Kundra ditahan polis atas kesalahan menghasilkan dan menyiarkan filem lucah, semalam.

Pesuruhjaya Polis Mumbai, Hemant Nagrale berkata, siasatan lanjut kini sedang dijalankan ke atas Kundra.

"Terdapat kes yang didaftarkan dengan Cawangan Jenayah Mumbai pada Februari 2021 berkenaan penerbitan filem pornografi dan penyiarannya menerusi beberapa aplikasi.

"Kami sudah menahan Raj Kundra berhubung kes ini berikutan dia didapati menjadi dalang utamanya. Kami memiliki bukti kukuh terhadapnya. Siasatan sedang dijalankan," katanya.

Terdahulu, sembilan individu ditahan selepas kes terbabit didaftarkan pada Februari lalu. Nama Kundra turut disebut sewaktu siasatan dan dituduh berkenaan.

Selain kes itu, namanya turut terbabit dalam sebuah kes seumpama yang didaftarkan polis Maharashtra Cyber pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 4:38 PM