NABIL AHMAD
NABIL AHMAD
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon popular, Nabil Ahmad, 38, berazam memberikan imbuhan besar buat pelakon serta kru produksi filem pertama arahannya, Mat Bond Malaya jika kutipannya mencecah RM10 juta.

Nabil yang juga pengacara popular berkata, niat itu sudah ditanam sejak awal lagi bagi menghargai semua yang terbabit.

Dia berharap dapat tunaikan janji itu berikutan ramai penggiat seni terkesan sepanjang pandemik Covid-19 ini.

"Sebenarnya, saya sudah beritahu mereka bahawa saya mahu bayar dua kali ganda sekiranya filem itu mencecah RM20 juta. Ini kerana asalnya filem itu patut ditayangkan di panggung wayang.

"Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, tayangannya diputuskan dibuat menerusi saluran Astro First. Jadi, saya berharap ia akan mendapat sambutan dan mampu mencecah kutipan RM10 juta.

"Saya benar-benar mahu gunakan keuntungan itu nanti untuk memberi imbuhan kepada pelakon dan kru produksi Mat Bond Malaya. Apatah lagi sekarang ini ramai yang terputus punca pendapatan, harap dapatlah saya membantu mereka," katanya.

Tampil dengan filem sulung arahannya, Nabil mengakui teruja dan pada masa sama menaruh harapan besar.

Menurutnya, dia sangat bersyukur apabila diberikan pasukan produksi yang terbaik.

"Dalam memastikan filem itu dilunaskan dengan baik, produksi serta pelakon terbabit berjaya memberikan corak kerja cemerlang. Dedikasi mereka benar-benar buatkan filem ini berbaloi.

"Tolak tepi jika ada kekurangan pada hasil akhirnya nanti, yang saya tahu, saya bangga dengan filem ini. Justeru, saya berharap ia akan mendapat sambutan memberangsangkan dan dapat tunaikan janji saya," katanya.

Nabil juga agak terkilan apabila filem itu tidak dapat ditayangkan di panggung wayang kerana itulah harapannya sebelum ini.

"Keseluruhan pembikinan filem ini dibuat untuk kualiti panggung wayang. Semestinya saya rasa ralat apabila hajat itu tidak kesampaian.

"Sebenarnya kami ada menunggu juga untuk giliran ditayangkan sebelum ini selepas panggung wayang dibuka seketika. Bagaimanapun, selepas penutupannya semula, tayangannya ditukar ke Astro First. Namun, di mana sekalipun platform ia ditayangkan, saya percaya filem ini mampu berjaya. Ini kerana, tarafnya memang memiliki kualiti hebat," katanya.

Filem Mat Bond Malaya yang akan ditayangkan mulai 20 Julai ini menampilkan penyanyi Naqiu, Elizabeth Tan, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, dan Farid Halus sebagai terjadi utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 1:06 PM