RAMAYAN mempertaruhkan lagu rock jiwang cara sendiri.
RAMAYAN mempertaruhkan lagu rock jiwang cara sendiri.
Georgie Joseph


KUMPULAN Ramayan tampil dengan single baharu berjudul Puas. Single terbabit adalah antara lagu yang dimuatkan dalam album penuh mereka, Di Persiaran Cakrawala yang dilancarkan tahun lalu.

Dianggotai Pi'e, Que, dan Omar, semestinya karya mereka sentiasa dinantikan peminat termasuk lagu baharu itu. Terdahulu, single pertama mereka, Lamunan Anak Bulan turut mendapat sambutan luar biasa.

Menurut Pi'e, istimewanya lagu Puas ditulis bekas anggota mereka, Naz. Menurutnya, corak nyanyian untuk lagu terbabit juga datang secara spontan menjadikan proses rakamannya lancar.

"Kali pertama saya mendengar lagu ini dimainkan oleh Naz menerusi piano, saya terus tertarik dengan pilihan kodnya. Apabila saya cuba meletakkan melodi nyanyian terhadap kod itu, ia datang dengan begitu sahaja.

"Seolah-olah saya terus diberi ilham bukan saja menerusi melodi, malah liriknya juga. Proses yang selalunya mengambil masa sehari untuk disiapkan selesai dalam masa beberapa jam sahaja," katanya sebagai vokalis.

Menariknya, cerita lagu Puas sangat berkait rapat dengan Pi'e. Ilham itu tercetus menerusi sebuah pengalaman jatuh cinta yang baginya disifatkan satu pengajaran besar.

SENTIASA utamakan falsafah serta mesej mendalam dalam karya..
SENTIASA utamakan falsafah serta mesej mendalam dalam karya..

"Waktu saya menulis lagu ini, saya berada dalam situasi yang amat gelap dalam hidup saya. Dulu saya percaya bahawa di mana ada cinta, di situ ada Tuhan.

"Dan kepercayaan itu dirasai paling kuat apabila saya terjatuh cinta dengan seorang gadis. Malangnya, gadis itu sudah dimiliki orang iaitu sahabat karib saya.

"Namun, saya tetap berkeras dengan cinta itu menyebabkan mereka berdua putus cinta. Saya sangat menyesal, maka terhasil lagu penyesalan ini," katanya.

Single Puas adalah percubaan Ramayan untuk memberi nafas baharu kepada muzik rock Malaysia. Terutama, kepada genre 'rock jiwang' yang terus bertakhta dalam kalangan pendengar.

Mereka berpendapat bahawa bunyi rock dibawa kebanyakan artis masa kini kurang kualiti dan nilai kepuasannya dari segi kreativiti serta mesej yang disampaikan dalam lirik-liriknya.

Kata Que, pengkarya muzik sekarang lebih mengejar corak melodi yang mengikut 'trend'. Sebaliknya, mereka pula mahu terus memperjuangkan karya yang sarat dengan falsafah.

"Kebanyakan penulis lagu sekarang hanya mengambil berat mengenai apa yang 'catchy' dan 'easy-listening'. Mereka menulis lirik yang tidak memerlukan daya pemikiran dan falsafah serta kurang bermakna.

"Kami pun tulis mengenai cinta juga, tapi cara kami menulisnya berbeza. Kami cuba melihat dari sudut berbeza dan lebih mendalam. Justeru, ini yang membuat lagu Puas unik buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:52 AM