Sera bersama Shuk dan anak-anak.
Sera bersama Shuk dan anak-anak.
Harian Metro

 

Kuala Lumpur: Isteri pelawak dan pengacara Shuk Sahar iaitu Rossalennah Natassyiah Asshaferah mendakwa ada individu menghantar benda syirik kepada dirinya.

Perkara itu dikongsi Rossalennah atau mesra disapa Sera menerusi hantaran video di Instagram yang memaparkan empat bungkusan kecil yang diikat dengan tali berwarna hijau.

 

"Untuk si pembuat yang macam ini, saya tak tuduh siapa-siapa. Semoga cepat bertaubat. Jangan buat syirik nak hantar santau sampai rumah," katanya.

Sehingga kini, video berkenaan sudah ditonton lebih 84,000 kali di Instagram dan kebanyakan pengikutnya terkejut kerana tidak menduga tindakan dibuat sejauh itu.

Kebanyakan netizen juga meminta Sera lebih berhati-hati dan berdoa kepada Allah memohon perlindungan buat diri, anak-anak dan keluarganya.

Terdahulu, Sera juga berkongsi beberapa hantaran di Instagram yang membayangkan kesediaannya untuk hidup bermadu dengan seorang wanita yang didakwa 'kekasih' Shuk. 

'Benda' (bertali hijau) yang dihantar induvidu tidak dikenali.
'Benda' (bertali hijau) yang dihantar induvidu tidak dikenali.

Bagaimanapun, semua hantaran dikongsikan itu sudah dipadam oleh Sera.

Terdahulu, sekitar Januari lalu timbul pergolakan rumah tangga Shuk dan isteri selepas tular di media sosial berikutan pendedahan berani dibuat Sera yang mendakwa suaminya curang.

Menerusi perkongsian Sera yang dimuat naik di Instagram ketika itu, dia mendedahkan Shuk masih lagi mempunyai hubungan dengan wanita sama yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Bagaimanapun, pasangan ini berbaik semula pada sekitar Februari selepas Shuk membawa rombongan 'meminang semula' Sera di rumah mereka dan memohon maaf kepada isterinya itu.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, berusia setahun.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan Shuk tidak berjaya apabila panggilan telefon dimatikan.

Meninjau ke Instagram, Shuk berkongsi video membuat penghantaran produk minumannya ke rumah pelanggan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 3:07 PM