Fitri bersama isteri.
Fitri bersama isteri.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Kumpulan Telegram itu sebarkan fitnah terhadap isteri saya. Tindakan mereka itu boleh mempengaruhi orang untuk tidak menerima vaksin."

Itu kata penyanyi Dr Fitri Haris mengenai kewujudan kumpulan Telegram, AEFI CASES – Covid Vaccines yang didakwa anti vaksin apabila menyebarkan maklumat tidak tepat dan berunsur fitnah terhadap kesihatan isterinya, Fazilah Omar yang dikaitkan dengan kesan pengambilan vaksin.

Susulan itu, Fitri, 37, atau nama sebenarnya Mohamad Fitri Mohamad Haris membuat laporan di Balai Polis Beranang, Selangor, semalam.

"Isteri saya melahirkan anak menerusi pembedahan pada 28 Jun lalu. Kalau ikutkan lambat lagi, tapi disebabkan dia menghidap masalah asma kronik, doktor nasihatkan untuk bersalin awal dan perlu menjalani pembedahan," katanya.

Menurut Fitri, pada hari yang sama isterinya bersalin, dia menerima mesej di Instagram berupa tangkap layar segala hantaran yang dia muat naik mengenai keadaan isteri dan bayinya. Rupa-rupanya ia dikongsikan dalam kumpulan Telegram AEFI CASES – Covid Vaccines.

"Kononnya masalah kesihatan isteri saya itu adalah kesan dari pengambilan vaksin. Isteri saya pula sudah lengkap dua dos vaksin sejak Jun lalu. Semua itu tidak betul kerana dia memang ada masalah asma sejak kecil lagi," katanya kepada Harian Metro.

Fitri berkata, laporan dibuat atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan bagi membantu petugas barisan hadapan terutama doktor dan jururawat membetulkan persepsi masyarakat terhadap vaksin.

"Laporan ini lebih kepada pertama, saya tidak mahu dakyah fitnah yang disebarkan itu mengganggu kesihatan isteri. Kedua, ia juga atas nasihat doktor dan ketiga saya tidak mahu orang ramai terus terpengaruh dan keliru dengan apa yang mereka sebarkan.

"Ini kerana kebanyakan yang tidak mahu ambil vaksin ini adalah dalam kalangan orang tua yang takut dengan cerita-cerita sebegini. Ditambah pula dengan dakyah yang disebarkan. Kes isteri saya ini bukan saja salah, malah ia adalah fitnah.

"Sebab itu saya kena dedahkan aktiviti kumpulan Telegram ini. Kepada orang ramai tolonglah dapat maklumat tepat mengenai vaksin daripada pihak berkenaan dan berkelayakan. Jangan percaya bulat-bulat apa disebarkan," katanya.

Fitri juga dinasihatkan pegawai penyiasat untuk membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 10:59 AM