ISTERI Dr Fitri terpaksa menjalani pembedahan.
ISTERI Dr Fitri terpaksa menjalani pembedahan.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Isteri penyanyi Dr Fitri Haris iaitu Fazilah Omar terpaksa menjalani pembedahan dan melahirkan bayi awal dari tarikh sepatutnya disebabkan berdepan dengan masalah penyakit asma yang teruk.

Fitri berkata, isteri juga pengurusnya itu selamat melahirkan bayi lelaki mereka, di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, hari ini.

Fitri dan isteri juga berdepan dugaan apabila bayi mereka menghadapi masalah pernafasan selepas dilahirkan dan kini dipantau di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

"Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 9.07 pagi secara pembedahan. Ikutkan dia dijangka bersalin pada 15 Julai depan. Tapi terpaksa bersalin awal, sebab isteri saya ada masalah asma yang teruk dan dia sudah ditahan dalam wad sejak tiga hari lalu. Sebelum itu, memang keadaan dia pun agak teruk seperti nyawa-nyawa ikan.

"Itu yang doktor memang cadangkan untuk lakukan pembedahan awal. Buat masa sekarang isteri masih berehat, tapi bayi kami pula alami masalah pernafasan. 

"Jururawat cakap, ia perkara biasa untuk bayi yang dilahirkan secara pembedahan. Sekarang ini doktor masih pantau memadangkan degupan jantungnya masih laju," katanya.

Terdahulu, Fitri berkongsi berita gembira berkaitan kelahiran bayi lelakinya itu menerusi hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran sama, Fitri berkata keadaan bayi lelakinya yang terpaksa ditahan wad NICU kerana berdepan masalah pernafasan dan mengharapkan doa daripada semua orang. 

Fitri juga bekas anggota kumpulan UNIC mendedahkan dia sudah berkahwin dengan Fazilah atau lebih mesra disapa El pada Disember tahun lalu.

Fitri pernah tiga kali menduda dan mempunyai seorang cahaya mata bernama Sofea Soleha, 16, yang menetap bersama bekas isterinya di Singapura.

Manakala, Fazilah juga pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Qhalish Rayyan Adam, 10.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:56 PM