BERSAMA kucing kesayangannya, Yeyen.
BERSAMA kucing kesayangannya, Yeyen.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Arash Mohd reda dengan takdir yang sudah tertulis buat dirinya apabila belum dikurniakan cahaya mata selepas 13 tahun berkahwin dengan isteri tercinta, Noor Afidahwati Mohammad, 41.

Arash, 51, berkata, dia bersama isteri sentiasa berfikiran positif selain menganggap belum ada rezeki untuk menimang zuriat walaupun pelbagai usaha sudah dibuat.

"Saya sudah 13 tahun berkahwin, tapi belum ada rezeki cahaya mata. Tapi alhamdulillah, kami pun sudah berusaha. Masing-masing okay, cuma tiada rezeki lagi.

"Kami macam biasa menjalani kehidupan sama seperti orang lain. Setiap hari adalah bulan madu bagi kami berdua sebab tiada anak. Kami lalui normal saja.

"Kami rapat dengan semua anak saudara dan mereka pun rapat dengan kami. Tak pernah rasa kecil hati apabila ada yang tanya sudah berapa anak, sebaliknya kami selesa berterus terang. Tiada masalah pun.

"Alhamdulillah, saya dan isteri terima apa berlaku dan lalui sekarang. Kami selalu anggap belum ada rezeki. Mungkin ada sebab Allah tak nak bagi lagi. Mungkin juga ada sebab yang kita tak nampak sekarang. Insya-Allah pada masa depan baharu tahu. Saya percaya pada qada dan qadar Allah. Saya dan isteri reda dengan apa yang berlaku. Usaha tetap usaha, cuma hasilnya belum ada rezeki lagi," katanya.

Arash yang menjadi sohor kini ekoran lakonannya dalam drama Scammer berkata, dia dan isteri juga sering menerima pandangan dan cadangan daripada rakan untuk mengambil anak angkat.

"Kami sudah biasa dengan soalan sebegini. Sebab kami jenis terbuka, jadi okay saja. Tiada apa yang perlu dikesali. Kadang-kadang ada juga yang cakap tak nak ambil anak angkatkah.

"Niat hati memang nak, tapi ada sebab belum masanya ambil anak angkat. Tak tahu sekarang, mungkin esok lusa dan akan datang baharu tahu kenapa," katanya.

Menurut Arash, sepanjang tempoh perkahwinan itu juga, dia dan isteri sudah mendapatkan khidmat nasihat doktor dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

ARASH bersama isteri tercinta.
ARASH bersama isteri tercinta.

"Usaha kami lebih kepada perubatan moden di mana mendapatkan khidmat nasihat doktor di hospital. Macam sebelum ini iaitu dalam lima ke enam tahun lalu, isteri pernah menjalani pembedahan sebab ada masalah membabitkan kesihatan wanita.

"Selepas itu, doktor pun ada berikan ubat. Semua sudah okay. Cuma belum ada rezeki. Kami tak ada masalah dan tetap gembira," katanya.

Bagaimanapun, kehidupan seharian Arash dan isteri terubat apabila ditemani dengan 11 kucing yang dianggap sebahagian daripada keluarganya.

"Kucing daripada seekor asalnya yang mana sudah 10 tahun bersama kami. Kemudian saya ada bagi pada kawan empat ekor. Jadi, yang tinggal sekarang dengan kami ada 11 ekor. Semua kucing memang tak kurung dalam sangkar.

"Kami menjaga semua macam anak. Kami dalam rumah. Makan, minum, tidur kami jaga sebaiknya. Alhamdulillah, ada saja rezeki menjaga mereka.

"Kucing saya ini bukan saja binatang peliharaan, tapi sudah menjadi sebahagian daripada keluarga saya. Saya memang pencinta haiwan. Kalau boleh nak buat macam zoo di rumah," katanya.

Namun, dalam masa sama, Arash berkata, masih ramai belum mengetahui kisah peribadinya disebabkan kurang gemar berkongsi perkara itu terutama di media sosial.

"Saya lebih gemar kongsi mengenai kerjaya. Dari segi status, sebenarnya ramai tahu saya berkahwin iaitu sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, sampai sekarang. Tapi, memang jarang kongsi di Instagram atau Facebook mengenai kehidupan peribadi dengan keluarga. Kadang-kadang ada boleh kongsi, ada kena simpan sendiri. Kalau nak kongsi semua dengan peminat, tidak ada pula nak simpan nanti.

"Tapi, kalau nak tahu dan bagi sesiapa yang mengikuti saya di media sosial, tentu pernah nampak saya bergambar dengan isteri, sambut raya dan sambutan hari jadi saya. Sambutan pun biasa-biasa saja, kami berdua saja. Saya pula jenis yang tidak suka terlalu 'havoc'.

"Alhamdulillah, saya seronok dengan kehidupan sekarang. Memang kalau tengok di Instagram dan Facebook saya, lebih banyak berkongsi soal kerjaya dan kucing saya. Lagipun, peminat sekarang pun sudah berbeza dengan dulu. Sekarang pun sudah ramai nak tahu perkembangan kerjaya artis yang mereka minat. Namun, ada segelintir nak juga tahu kisah peribadi," katanya.

Selain berkongsi mengenai kucing kesayangan, ada ketika Arash berkongsi hobi seperti aktiviti berbasikal, mendaki dan joging.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:44 AM