FIRDAUS (tengah) bersama pelakon utama drama terbitannya, Bukan Cerita Cinta Cliche iaitu Mimi Lana dan Syafiq Kyle.
FIRDAUS (tengah) bersama pelakon utama drama terbitannya, Bukan Cerita Cinta Cliche iaitu Mimi Lana dan Syafiq Kyle.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Netizen memanglah seronok nasib industri kreatif tidak dibela dan penggambaran tidak beroperasi, sedangkan orang dalam industri kreatif 'cari makan' dengan kerjaya ini," kata penerbit Guam TeamWork Sdn Bhd, Firdaus Nadxaman yang kesal dengan sikap segelintir pihak yang tidak memandang serius mengenai nasib industri kreatif yang dikhuatiri ranap.

Firdaus berkata, dia menerima banyak keluhan daripada kru produksi serta pelakon yang berdoa dan menanti agar ada sinar baharu untuk industri kreatif kembali beroperasi segera.

"Saya sangat sedih melihat nasib kru produksi yang setiap hari berdoa supaya dapat kembali bekerja kerana ada di antara mereka yang kehabisan wang.

"Ramai yang tidak tahu warga industri kreatif sudah semakin tenat dengan barisan pekerja 'freelance' kehilangan mata pencarian. Mereka ini bukan bergaji tetap. Kalau ada kerja adalah gaji untuk mereka. "Saya difahamkan ada yang terpaksa menjual barangan peribadi demi sesuap nasi. Belum lagi yang tertekan dengan masalah kewangan yang semakin tenat," katanya.

Menurut Firdaus, dia berharap sektor penerbitan terutama penggambaran dapat beroperasi secepat mungkin.

"Saya merayu supaya kerajaan membenarkan sektor penerbitan dan penggambaran beroperasi semula. Saya harap surat rayuan yang sudah dihantar oleh beberapa persatuan industri kreatif dapat dipertimbangkan.

"Syarikat saya sendiri ada lebih 10 pekerja tetap yang perlu saya bayar gaji setiap bulan. Kalau tiada penggambaran, syarikat saya akan rugi puluhan ribu kerana komitmen wajib yang perlu dilunaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 5:16 PM