Lufya.
Lufya.
Oleh Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Lufya Omar menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap golongan artis termasuk dirinya seolah-olah mendapat layanan kelas atasan kerana sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar berkata, tidak semua golongan selebriti sudah menerima vaksin dalam tempoh yang cepat dan ia juga bergantung kepada rezeki.

"Saya melalui proses seperti orang lain dengan mendaftar di aplikasi MySejahtera. Memang ada selebriti yang sudah dapat vaksin, tapi ramai juga yang masih menunggu tarikh untuk dos pertama.

"Bagi saya, hal sebegini tidak sepatutnya dipertikai kerana sistem yang dibangunkan membabitkan jutaan rakyat Malaysia. Tambahan pula, sistem itu bukan dibina 20 tahun lalu jadi kita semua perlu bersabar.

"Apa yang saya lakukan adalah selalu kemaskini aplikasi MySejahtera. Alhamdulillah saya sudah menerima suntikan dos pertama pada 17 Jun lalu.

"Saya juga difahamkan ada golongan seperti ibu bapa yang berisiko boleh mendapatkan vaksin lebih awal dengan menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengetahui caranya," katanya yang akan menerima dos kedua pada 8 Julai ini.

Menurut Lufya, dia juga terkilan apabila ada pihak menuduhnya sebagai anti vaksin.

"Tujuan saya kongsi tangkap layar skrin aplikasi MySejahtera di Instagram kerana saya nak buktikan yang saya sudah menerima dos pertama vaksin.

"Memang pada awalnya saya tidak mahu gembar-gemburkan perkara ini kerana tidak mahu isu dengan jiran sebelum ini dibangkitkan lagi.

"Tapi disebabkan ramai yang hantar mesej peribadi dan menuduh saya anti vaksin serta pentingkan diri sendiri, saya nekad pertahankan diri.

"Jujur fitnah yang lalu memang memberi kesan kepada hidup saya. Jadi, saya perlu keluarkan kenyataan supaya orang berhenti label saya sebagai anti vaksin," katanya.

Lufya menerusi Instagram turut mendedahkan dia rimas apabila menerima banyak pertanyaan selepas isu seorang pengacara menuduhnya tidak percayakan vaksin.

Sebelum ini, pengacara Fara Hanim Razak menerusi laman Twitter mendakwa Lufya dan pelakon Rita Rudaini sebagai anti vaksin mengundang kemarahan dua selebriti itu.

Walaupun sudah memaafkan Fara Hanim, namun Lufya mengakui isu itu memberi kesan kepada kehidupannya dan berharap pengacara itu belajar daripada kesilapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 4:42 PM