FASHA lihat kemunculan pelakon baharu daripada sudut positif untuk warnai industri
FASHA lihat kemunculan pelakon baharu daripada sudut positif untuk warnai industri
Sudirman Mohd Tahir


ISU instafamous terjun dalam bidang lakonan antara yang hangat diperkatakan dalam industri hiburan sejak kebelakangan ini.

Ada yang menyambut baik, malah tidak kurang juga bersikap sinis terutama jika melihat kepada kredibiliti mereka yang dianggap tidak bersedia menjadi pelakon.

Daripada sudut lain pula, ada penerbit dan pengarah mempertahankan kehadiran mereka atas alasan bidang lakonan memerlukan wajah dan pelapis baharu kepada pelakon sedia ada.

Bagi pelakon Fasha Sandha, dia melihat kemunculan pelakon baharu yang datang dari platform media sosial atau yang bergelar instafamous itu adalah perkembangan sihat dalam industri hiburan tanah air.

"Sejujurnya apabila saya mula berlakon 16 tahun lalu, saya juga tidak faham apa itu lakonan. Saya hanya main cakap dan lontarkan dialog saja. Sama seperti mereka yang baharu ini. Cuma, apa saya buat adalah menjaga disiplin dan memberikan sepenuh komitmen atas kerja yang diberikan. Setiap hari saya belajar di lokasi.

"Kehadiran ramai pelakon baharu adalah perkembangan yang sihat. Saya tak pandang negatif, tapi lihat ia daripada sudut positif. Kemunculan mereka juga memberikan warna dalam industri.

"Cuma saya selalu ingatkan pelakon baharu, orang tak kisah jika berlakon 'kayu', apa yang penting jaga disiplin, komitmen dan tingkah laku. Walaupun saya sudah 16 tahun dalam bidang ini, apabila pengarah ada pandangan dan tegur lakonan, saya terima.

"Kena sentiasa nak majukan diri dan menjadi lebih baik. Pendapat pengarah perlu diambil kira juga. Jadi, saya terima kehadiran mereka tapi kena jaga disiplin dan komitmen," katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama Scammer yang ditayangkan di saluran Astro Ria, Fasha yang melakonkan watak Nisa berkata, dia kagum dengan semangat dan kerja keras yang ditunjukkan Arash Mohd bagi menjayakan watak Razman yang juga bapanya dalam siri itu.

"Setiap hari di lokasi Abang Arash buat 'homework' mengenai wataknya. Ini kali pertama saya tengok dia betul-betul 'method' dengan watak dilakonkan. Apa yang dibuat itu membuatkan saya teruja dan bersemangat untuk buat perkara sama.

"Bukan nak berlawan atau 'makan' lakonan sesiapa, tapi mahu menjadi bagus juga supaya impak siri ini bertambah bagus. Alhamdulillah, kerjasama dalam pasukan drama ini sangat bagus," katanya.

Mengulas mengenai anugerah dan pencapaian, Fasha berkata, setiap pelakon perlu bekerja dengan ikhlas.

"Soal menang anugerah ia adalah bonus. Sebaga pelakon dan anak seni sejati, perkara ini bukan soal utama kerana tak kisah pun dapat anugerah atau tidak. Bagi saya, apa yang penting adalah bekerja dengan penuh keikhlasan.

"Contohnya ada yang persoalkan Abang Arash dia belum pernah dapat anugerah walaupun sudah 30 tahun dalam bidang lakonan. Bagi saya, penghormatan yang diterimanya sesuatu yang lebih berharga. Sama seperti saya berikan dia penghormatan itu.

"Malah kalau baca komen dan maklum balas penonton di Twitter, 99 peratus bercakap mengenai watak dia saja. Orang puji lakonannya yang hebat dan itu perlu diakui. Malah, itu adalah pencapaian bagi seseorang pelakon," katanya.

Drama Scammer terbitan Radius One Sdn Bhd yang diarahkan Norhanisham Muhammad atau Labu turut menampilkan lakonan antaranya Kamal Adli, Siti Saleha, Arash Mohd, Jay Iswazie, Didie Alias, Hasnul Rahmat dan Chew Kin Wah.

Scammer yang mula ditayangkan pada 24 Mei lalu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:44 AM