Arash Mohd.
Arash Mohd.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Arash sudah lama berlakon, dari dia muda sampai sekarang. Lakonan pun bagus. Tapi kenapa tak pernah menang anugerah?"

Itu antara komen pengguna laman sosial malah ramai lagi yang membuat persoalan sama mengenai pelakon, Arash Mohd yang belum pernah menang sebarang anugerah walaupun sudah 30 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Komen seumpama itu muncul ketika lakonan Arash Mohd menerusi watak Razman dalam drama Scammer menjadi bualan dan perhatian warganet.

Arash, 52, atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee berkata, dia berterima kasih dengan semua komen positif diberikan selain bersyukur kerana hasil kerjanya masih dihargai.

"Saya ada juga baca komen mengenai masih belum dapat anugerah. Saya tak pernah kecil hati pun, tapi saya tetap anggap satu kejayaan dalam kerjaya apabila pernah tercalon dalam beberapa acara anugerah.

"Pada saya pencalonan pun orang sudah hargai. Paling penting saya puas apa saya buat, apa saya sudah sumbangkan dalam bidang kreatif ini. Kalau nak label saya pelakon senior atau otai, itu bukan daripada saya, tapi penonton dan masyarakat.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih dihargai dari segi hasil kerja. Sebenarnya soal menang anugerah ini, kalau dapat ia bonus. Tapi, apa lebih penting bagi saya, nak beri penonton hargai hasil kerja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Arash, sudah menjadi prinsip dirinya dalam bekerja yang mana setiap hari adalah proses pembelajaran.

"Walaupun sudah 30 tahun dalam bidang ini, prinsip saya adalah setiap masa masih perlu belajar. Bagi saya, proses pembelajaran dan menimba ilmu tidak akan tamat selagi kita masih hidup. Nasihat saya kepada pelakon baharu, teruskan belajar. Cari ilmu lagi.

"Proses nak sampai tida dekad ini bukan mudah. Saya sudah rasa dan lalui banyak pengalaman. Dari 1991 saya terbabit sampai sekarang, banyak perubahan saya dapat. Pelakon kita ramai macam cendawan tumbuh selepas hujan. Ada yang bagus, ada yang perlu belajar lagi," katanya.

Arash berkata, dia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelakon baharu baik dalam kalangan Instafamous.

"Kepada budak baru, saya sentiasa 'welcome' dan tak pernah halang. Tapi kalau boleh jadi lebih bagus daripada pelakon yang ada sekarang. Insya-Allah mereka ada dihormati nanti.

"Apa saya buat sekrang ini pun syukur alhamdulllah. Saya hargai semua komen peminat dan yang sentiasa memberikan sokongan. Saya belajar dari komen-komen mereka. Kalau ada projek lain saya akan cuba perbaiki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 11:14 AM