KEPUTUSAN diraih suntik semangat dua penyanyi remaja ini untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
KEPUTUSAN diraih suntik semangat dua penyanyi remaja ini untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Norhayati Nordin


TAHUN lalu, ternyata membawa satu ceritera tidak pernah diduga apabila satu dunia harus akur berhadapan penularan pandemik Covid-19 yang amat berbahaya.

Hingga sekarang pun, kes penularan virus ini dalam negara masih tinggi sehingga dilaksanakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali ketiga. Malah, institusi pendidikan seperti sekolah kini masih ditutup.

Kesemua pelajar sama ada di sekolah rendah dan menengah pada ketika ini mengikuti sesi pendidikan secara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Situasi belajar dalam suasana norma baharu ini sudah dilaksana sejak tahun lalu.

Apapun, yang pasti dugaan besar menimpa generasi baharu hari ini yang berhadapan cabaran belajar di rumah kerana tidak boleh ke sekolah, nyata bukan penghalang untuk mencatat keputusan peperiksaan yang baik.

Ia dilihat sudah dibuktikan sebilangan besar pelajar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu apabila ramai yang berjaya meraih keputusan cemerlang dan baik ketika pengumuman baru-baru ini.

Bagi dua penyanyi remaja, Lia Aziz, 18, dan Erin CTJ, 18, mereka sangat bersyukur kerana lulus serta mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Justeru, ia menyuntik semangat untuk menyambung pengajian di universiti.

LIA Aziz akui tak sangka dapat keputusan baik dalam SPM.
LIA Aziz akui tak sangka dapat keputusan baik dalam SPM.

Meski enggan mendedahkan keputusan sebenar diperoleh, Lia yang kini popular dengan lagu Kucu Kuca dan Erin pula mempertaruhkan lagu Arjuna menganggap segala cabaran dilalui mereka untuk menduduki SPM sudah berakhir.

Lia atau nama sebenar Nur Aliah Faizana Abdul Aziz berkata, ada beberapa mata pelajaran yang dia mulanya menjangka mendapat markah kurang sebelum peperiksaan SPM, tapi keputusan diraih pula agak baik.

"Jadi, banyak benda yang saya tak jangka dan alhamdulillah dengan keputusan yang cukup baik ini. Saya kini berharap dapat melanjutkan pengajian ke menara gading pula.

"Apapun, bila dikenangkan semula, menjadi calon SPM tahun lalu, amat besar cabarannya. Kami tidak dapat ke sekolah belajar bersemuka dengan guru kerana perlaksanaan PKP. Bahkan, sesi pembelajaran juga dibuat melalui 'online'.

"Selain itu, tarikh peperiksaan SPM juga pernah ditunda sebanyak dua kali dan saya akui ia sedikit sebanyak menyebabkan semangat belajar jadi semakin kurang," katanya.

ERIN CTJ syukur lulus semua mata pelajaran dan dapat sijil SPM.
ERIN CTJ syukur lulus semua mata pelajaran dan dapat sijil SPM.

Bagi Erin atau nama sebenarnya, Siti Erin Syaheera Jamaluddin, dia sekarang berasa sangat lega kerana sudah mendapat keputusan SPM yang ditunggu-tunggu selama ini. Katanya, dugaan agak berliku untuk memperoleh keputusan itu.

"Alhamdulillah, saya lulus semua subjek mata pelajaran diambil serta layak mendapat sijil SPM. Ia sangat penting bagi saya yang sudah membuat sehabis baik untuk keputusan ini.

"Sekarang, saya merancang mahu melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang muzik. Saya bercita-cita mendalami ilmu muzik untuk kerjaya seni yang sangat dicintai ini," katanya.

Erin yang mengakui begitu meminati bidang nyanyian berkata, dia perlu lebih berani menerokai pelbagai ilmu dalam muzik dan menimba pengalaman baharu untuk seni persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:10 AM