Ed Sheeran
Ed Sheeran
Agensi

London: Penyanyi dan komposer tersohor, Ed Sheeran, 30, melamar bakat muda Maisie Peters, 21, sebagai artis terbaru naungan syarikat rakam miliknya Gingerbread Man Records.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Perfect itu, Peters disifatkannya seorang pemuzik yang begitu asli selain sudah lama terpikat dengan kemampuan muzikalnya.

"Saya ingin memperkenalkan bakat baharu yang bernaung di bawah Gingerbread Man Records, Maisie Peters! Saya mengikuti karier muziknya sejak beberapa tahun lalu termasuk lagunya Feels Like This dan Place We Were Made.

"Saya sangat teruja dapat bekerja dengannya untuk album pengenalan You Signed Up For This yang akan dilancarkan pada 27 Ogos nanti," katanya.

Menurut Sheeran, dia turut jatuh cinta dengan perwatakan peribadi Peters dan tidak sabar untuk berkongsi pelbagai projek akan datang mereka.

"Dia seorang yang jujur, berbakat besar dan sangat menyenangkan untuk didampingi. Saya pasti anda semua pernah mendengar lagunya sebelum ini.

"Kalau belum, silalah cari mengenainya. Anda bakal mendengar lebih banyak muzik daripadanya dan saya juga tidak lama lagi," katanya.

Sheeran menubuhkan syarikat rakaman itu pada 2015. Artis pertamanya adalah Jamie Lawson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:22 PM