Arja Lee.
Arja Lee.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Arja Lee, 37, membuat laporan polis terhadap kecuaian serta menuntut penyelesaian daripada syarikat penghantaran yang menyebabkannya kerugian RM1,050 di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli berkata, dua kotak berisi 24 jenis biskut raya yang diterimanya dari Kuala Lumpur menggunakan khidmat penghantaran syarikat itu hancur dan rosak, kelmarin.

Arja yang terkilan dengan insiden itu kemudian menghubungi syarikat terbabit, namun belum mendapat jawapan mengenai kejadian itu.

"Kakak saya sudah menghubungi kakitangan syarikat itu memaklumkan perkara ini. Mereka meminta semua dokumen terbabit dan kami sudah memberi semuanya seperti bukti biskut hancur, slip pembayaran dan video kerosakan.

"Saya membuat laporan polis sebagai rujukan untuk pihak syarikat penghantaran itu bagi meminta ganti rugi jumlah biskut yang rosak. Ia juga untuk tindakan pihak polis sekiranya syarikat terbabit gagal selesaikan kerugian syarikat kami," katanya.

Terdahulu, Arja yang mengusahakan perniagaan Arja's Cookies memuat naik video berkaitan kerosakan biskut berkenaan.

Menurutnya, mereka sudah memaklumkan lebih awal kepada syarikat penghantaran itu bahawa barangan dihantar itu mudah pecah.

"Kami sudah perincikan mengenai barangan itu kepada mereka di Kuala Lumpur. Kami turut mengingatkan mereka supaya memastikan barangan itu sampai dalam keadaan selamat ke Kota Bharu.

"Namun, semua biskut yang sampai kepada saya rosak teruk dan hancur. Saya sangat sedih dan kecewa dengan insiden ini. Bukan saja biskut yang hancur, malah bekasnya juga pecah dan terkopek," katanya.

Arja juga mempersoalkan bagaimana cara syarikat itu bekerja sedangkan pihaknya sudah memperincikan kondisi barangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 11:28 AM