FAUZIAH dan Mohamad Fadli berduet menyanyikan lagu Suka-Suka.
FAUZIAH dan Mohamad Fadli berduet menyanyikan lagu Suka-Suka.
Norhayati Nordin


AGAK jarang mendengar kisah penyanyi popular Fauziah Latiff. Namun, kemunculannya dalam program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) di TV3 baru-baru ini umpama mengubat rindu.

Fauziah, 51, yang lemah lembut ketika berbicara nyata sangat berhati-hati dalam pemilihan peserta sama ada penyanyi sebenar atau penyamar dalam program itu.

Melihat penampilan tenang Fauziah, dia juga yakin dengan pilihannya apabila memilih peserta, Mohamad Fadli, 22, untuk duet bersama menerusi lagu Suka-Suka.

Berbicara mengenai pilihannya, Fauziah atau mesra dengan sapaan Gee berkata, dia melihat karakter peserta berkenaan yang membuatkannya yakin bahawa pemuda itu ialah penyanyi sebenar.

"Saya melihat air muka dia, manis, sopan dan baik. Jadi, saya sangat yakin dia adalah penyanyi sebenar. Walaupun agak mencabar juga untuk buat pilihan peserta yang betul, tapi saya cuba.

"Alhamdulillah, tak sangka juga memang dia boleh menyanyi dengan baik. Dia ada potensi vokal yang bagus, tapi kena gilap lagi dan perlu banyak timba pengalaman," katanya.

Mengulas mengenai pihak panel penyiasat ketika itu seperti Jihan Muse, Fad Bocey, Catriona Ross, Maryam You Narae dan Norman Hakim yang disediakan untuk membantu, Fauziah berkata, mereka ada tanggungjawab masing-masing.

"Program ICSYVMY ini memerlukan saya mengenal pasti siapa penyanyi sebenar dan siapa pula penyamar. Jadi, sudah tentulah ada peserta yang boleh menyanyi dan sebaliknya. Apapun, saya sebagai penyanyi yang dicabar kena peka.

FAUZIAH Latiff berjaya pilih penyanyi sebenar.
FAUZIAH Latiff berjaya pilih penyanyi sebenar.

"Bukan mudah nak buat pilihan singkirkan orang dan itulah cabaran utama. Malah, nak memilih siapa boleh menyanyi dan siapa yang menyamar itu kena hati-hati," katanya.

Fauziah berkata, mendengar penjelasan dan kata-kata manis daripada panel penyiasat perlu kerana mereka ada padangan masing-masing, tapi pertimbangan keputusan tetap datang daripadanya.

"Saya tak nafikan sangat berhati-hati kerana tidak mahu tersalah pilih. Apatah lagi, saya pun sudah ada pengalaman lama dalam dunia seni suara, jadi ia (pengalaman) membantu.

"Jujur saya gembira dengan pilihan dibuat. Saya memilih dengan gerak hati dan rasa yakin. Harapan saya, supaya Mohamad Fadli akan berjaya menjadi penyanyi berjaya suatu hari nanti," katanya.

Menurut Fauziah yang popular dengan lagu seperti Teratai Layu Di Tasik Madu dan Dia, perkembangan industri muzik semakin maju dan dia melihat ramai bakat muda yang muncul sebagai penyanyi dan juga komposer.

ICSYVMY yang kini memasuki musim keempat dihoskan Shuk Sahar dan Sean Lee. Ia ditayangkan di TV3, setiap Ahad, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:40 AM