Faizdickie bersama karya seninya.
Faizdickie bersama karya seninya.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Selebriti Instagram, Faizdickie menghadiahkan hasil karya seni menggunakan tema kumpulan BTS yang dihasilkannya menggunakan bungkusan makanan BTS Meal McDonald's kepada peminat BTS yang bertuah.

Faiz yang juga peminat kumpulan popular dari Korea Selatan itu berkata, dia terpanggil untuk menghasilkan karya dan menjadikannya hadiah kerana kagum dengan semangat peminat-peminat BTS yang saling menyokong antara satu sama lain.

"Kebanyakan peminat BTS sangat menyokong satu sama lain dan positif. Pada awalnya, ramai pengikut saya yang juga peminat BTS berhasrat nak membeli hasil karya itu.

"Namun, apabila saya fikirkan semula, dalam situasi sekarang ramai yang terkesan dari segi kewangan. Jadi, saya rasa lebih baik saya hadiahkan secara percuma kepada peminat bertuah," katanya.

Menurut Faiz atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, dia juga mencari peminat yang memiliki kisah menarik berkaitan dengan BTS.

"Daripada hampir 1,000 komen yang saya terima, saya memilih peminat bernama Nadeema Kamaruddin. Dia ada kisah tersendiri apabila mula jatuh hati dengan BTS dan berkongsi minat dengan anaknya yang berusia 10 tahun," katanya.

Faiz menggunakan teknik media campuran (mixed media) dalam menghasilkan karya seni ini di samping mengitar semula bungkusan makanan segera yang dikeluarkan khas buat peminat BTS itu.

"Untuk menghasilkan karya ini, saya mengambil masa selama empat jam. Sebelum itu, saya terpaksa mencari set istimewa itu di tiga restoran makanan segera kerana jualannya yang terlalu laris.

"Secara tak langsung, saya nak mengajak orang ramai supaya mengitar semula barangan terpakai dan digunakan sebagai barangan yang mungkin ada nilai tersendiri," katanya.

Faiz juga mengajak masyarakat supaya sentiasa menghormati minat setiap individu yang tentunya berbeza-beza.

"Melihatkan kepada situasi hari ini, ada juga mereka yang 'menjentik' peminat-peminat Kpop sekali gus membangkitkan kemarahan mereka.

"Jadi, saya harap kita semua dapat saling hormat menghormati minat setiap individu kepada sesuatu selagi perkara yang diminati itu tidak memberi kesan buruk kepada sesiapa," katanya.

Sebelum ini, Faiz juga turut menghasilkan karya lukisan bertemakan Palestin dan dilelong dengan harga RM2,500 untuk didermakan ke tabung bantuan Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 4:23 PM