ELLIE menganggap sikap dan disiplin patut dipandang berat oleh pelakon baru.
ELLIE menganggap sikap dan disiplin patut dipandang berat oleh pelakon baru.
Syafil Syazwan Jefri


MENGGALAS tanggungjawab sebagai pelakon bukanlah sekadar beraksi di hadapan kamera dan melakonkan sesuatu karakter yang diberikan.

Tugas sebenarnya lebih daripada itu dan banyak aspek yang perlu dititikberatkan dalam memastikan nama dan kerjaya berkembang seiring.

Bagi pelakon versatil, Ellie Suriati, untuknya mencipta nama sehingga berada di tahap sekarang bukanlah satu kerja mudah.

"Nak bina nama memerlukan kerja keras, disiplin, fokus dan juga usaha yang sangat kuat di samping rajin untuk melakukan kajian bagi menjayakan sesuatu karakter," katanya.

Berkesempatan menemu bual isteri kepada pelakon, Azri Iskandar ini, dia yang popular dengan pelbagai karakter sentiasa berpegang teguh dengan pencarian ilmu lakonan.

"Bakat itu adalah anugerah daripada Allah. Ada orang yang sememangnya berbakat semula jadi. Ada juga yang tak berapa berbakat, tapi masih boleh diasah bakatnya.

"Kepada orang yang baru melangkah masuk ke dalam industri, penting untuk mencari guru bagi mengasah bakat lakonan itu," katanya.

Berkongsi mengenai isu pelakon baharu yang nampaknya seperti kurang persediaan, Ellie menegaskan bahawa persediaan sebelum melangkah masuk ke set adalah sangat penting.

"Bila masuk ke set, orang sekeliling yang sedang bekerja memang tak boleh nak mengajar kamu berlakon dan menghayati watak.

"Sebab itulah kena cari guru dan belajar berlakon sebagai persediaan kerana ada banyak aspek seperti teknikal, bagaimana nak menghayati sesuatu karakter dan bagaimana untuk beraksi di hadapan kamera," katanya.

Menurutnya, pelakon lain yang turut berada di lokasi penggambaran mungkin boleh berkongsi tips, namun, tentunya ia tidak mendalam seperti mana yang diajar dalam kelas.

"Kita (pelakon) bolehlah bagi tips, tapi untuk penghayatan, bagaimana untuk menghayati karakter, bagaimana nak mendalami skrip, bagaimana nak mengadaptasi dari skrip, bagaimana nak dengar arahan pengarah, itu semua memerlukan pembelajaran dalam kelas," katanya.

Tambahnya lagi, stesen TV juga memainkan peranan penting kerana keputusan untuk memilih pelakon kebanyakannya berada di tangan mereka.

"Stesen TV pun kalau nak ambil pelakon baharu, kena sarankan kepada penerbit untuk mengambil guru lakonan. Kalau boleh biarlah yang berkaliber dan hasil kerjanya sudah dikenali.

"Antara yang saya rasakan sangat layak adalah Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Ogy Ahmad Daud dan ramai lagi. Kita tahu mereka berkaliber kerana hasil didikan mereka kebanyakannya cukup menonjol," katanya.

Selain kelas, Ellie juga menegaskan mengenai sikap dan disiplin yang patut dipandang berat oleh pelakon baru.

"Disiplin kena bagus. Perbezaan antara pelakon dahulu dengan sekarang adalah disiplin, tapi ada juga pelakon sekarang yang berdisiplin.

"Ada juga yang menganggap lakonan itu satu kerja senang. Ada yang tak faham pun dialog. Jadi, bila dilontarkan, jadi mendatar.

"Ada juga yang datang lambat. Bila datang lambat ke set, tak sempat berlatih dengan pelakon-pelakon lain," katanya.

Menutup sesi perbualan, Ellie mengingatkan supaya pelakon-pelakon sentiasa ringan mulut untuk bergaul sesama mereka tatkala berada di set.

"Pelakon baru kena jadi rajin dari semua segi termasuklah cara bagaimana untuk bergaul dengan pelakon lain. Kalau tak buat latihan bersama, bagaimana nak dapat pemahaman mengenai watak?

"Bila masuk set, dialog 'keras' dan cakap pun tak faham. Pelakon yang dah bersedia, dia akan cuba lakukan yang terbaik dia boleh buat. Kalau tidak, itulah yang tiba-tiba susah nak keluarkan air mata bila berlakon babak menangis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 6:45 AM