SITI Nurhaliza. FOTO arkib NSTP
SITI Nurhaliza. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghormati dan akur dengan keputusan pihak berkuasa mengenai kompaun RM10,000 yang dikenakan kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika majlis tahnik anak keduanya, awal bulan ini.

Siti berkata, pihaknya masih belum dimaklumkan mengenai perkara itu daripada pihak berkuasa.

"Pihak kami hanya mengetahui daripada berita atau pihak media mengenai kompaun yang dikenakan dan belum mendapat pemberitahuan daripada pihak polis.

"Kami menghormati dan akur dengan apa jua yang diputuskan pihak berkuasa dan berharap semua ini selesai dengan baik," katanya.

Dalam laporan Harian Metro hari ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.

Selain Siti, tiga anaknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Sementara itu, Arjunaidi juga memaklumkan artis, Norman Hakim dan Abby Abadi serta pasangan masing-masing turut dikenakan kompaun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 3:20 PM