Azhan bersama ibunya.
Azhan bersama ibunya.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Pelakon Azhan Rani, 45, tidak menafikan ada beranggapan apakah aplikasi disediakan untuk membuat permohonan suntikan vaksin Covid-19 juga 'kritikal' pada ketika ini sebagaimana situasi penularan wabak sekarang?

Azhan berkata ia berikutan kesukaran dihadapinya untuk membuat permohonan mendaftar suntikan vaksin untuk ibunya.

Azhan berkata, dia sudah banyak kali cuba membuat permohonaan namun masih gagal.

"Saya fikir, aplikasi ini pun 'kritikal' juga agaknya. Apapun, saya buat permohonan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 untuk mak, Salmah Budin, 75. Sebabnya, mak sudah agak berusia dan dalam kategori warga emas yang berisiko tinggi.

"Saya tahu, bukan saya sahaja berhadapan situasi sukar nak daftar permohonan suntikan vaksin ini, tapi orang lain juga pasti menghadapi keadaan sama terutama bagi anak-anak yang nak memohon untuk ibu bapa mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azhan, apa yang membuatkan dia geram apabila aplikasi terbabit tidak melancarkan permohonan pendaftaran dibuat dengan mudah. 

"Memang payah, sebabnya mungkin dah ramai juga orang berebut nak ambil vaksin. Tapi, dalam kepala saya ketika itu memang fikir, nak dapatkan untuk mak saja dulu.

"Bagi diri saya, bila-bila masa dapat pun, tak apa saya rela tunggu. Namun, buat kekasih hati dan syurga saya ini (mak), paling utama. Alhamdulillah akhirnya permohonan saya berhasil juga," katanya lagi.

Ujar pelakon drama Nur ini, ibunya akan mendapat vaksin AstraZaneca (AZ) dan tarikh temu janji suntikan dos pertama pada 24 Jun ini. 

Menurut Azhan, melihat pada situasi jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hari berserta kemunculan beberapa varian wabak yang baharu membuatkan dia cukup risau mengenai ibunya.

"Sekarang ini, saya baca berita setiap angka jangkitan tinggi. Kebanyakan pesakit yang dijangkiti pula tidak mengalami simptom Covid-19. Lagilah bahaya dan wajar untuk saya pastikan mak dapat vaksin lebih awal.

"Selain terus berdoa setiap hari kepada Allah untuk memberi perlindungan, saya juga kena pastikan mak dapat vaksin sebagai perlindungan bagi golongan sudah berusia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

     

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 2:32 PM