IMAN Troye
IMAN Troye
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Iman Troye membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagram selepas dikecam teruk kerana dianggap tidak sensitif apabila memuat naik ciapan sindiran mengenai angka kes positif yang semakin tinggi di Twitter miliknya, Ahad lalu.

Iman berkata, dia menyedari kesilapan itu sebaik memuat naiknya di Twitter dan tiada niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak.

"Saya ingin mohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan. Saya mula sedar kesilapan ini selepas memuat naiknya. Ciapan itu sangat mengelirukan dan saya mengakui perkara itu.

"Apa yang saya lakukan tidak sensitif. Saya sepatutnya lebih peka berkaitan hal ini. Saya tiada niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Iman, dia berterima kasih kepada semua pihak yang menegurnya dan akan belajar daripada kesilapan.

"Saya tidak terdetik untuk melukakan sesiapa terutama kepada petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan kerana Covid-19.

"Saya ingin mohon maaf. Insya-Allah saya akan belajar daripada kesilapan ini. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

"Terima kasih kepada semua yang menegur. Saya akan cuba jadi lebih baik, Insha-Allah," katanya.

Kelmarin, Iman dikecam netizen kerana menulis statistik angka jangkitan harian Covid-19 disertakan perkataan 'happy' (gembira) yang disifatkan netizen dia berbangga dengan angka jangkitan itu.

Ramai menyifatkan tindakan Iman itu kurang matang kerana menjadikan ia bahan gurauan selain dan tidak sensitif dengan isu semasa.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas memuat naik status itu, Iman dilihat menyahaktif akaun Twitter.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 9:36 PM