IBU Tasha Manshahar, Herina Wong Abdullah berada di Unit Rawatan Rapi. FOTO IG
IBU Tasha Manshahar, Herina Wong Abdullah berada di Unit Rawatan Rapi. FOTO IG
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur:  Penyanyi, Tasha Manshahar, 29, berkongsi berita keadaan kedua ibu bapanya yang dijangkiti Covid-19 dan kini masih mendapatkan rawatan menerusi hantaran dibuat di Instagram Story.

Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar berkata keadaan bapanya dimaklumkan semakin membaik, cuma ibunya, Herina Wong Abdullah  kini 'dikomakan' dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang kerana mengalami jangkitan di paru-paru.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada doa-doa kalian semua. Sesungguhnya, saya tidak tahu nak balas macam mana, tapi saya doa Allah beri ganjaran pahala yang besar atas kesudiaan kalian mendoakan kesejahteraan dan kesihatan kedua ibu bapa saya.

"Ayah nampaknya semakin membaik, alhamdulillah. Mummy je la, paru-paru ada jangkitan, paras oksigen dalam badan pun tak okay. Jadi, doktor kena 'tidurkan' dia dan masukkan tiub untuk bantu pernafasan sehingga keadaannya kembali stabil," katanya.

Menurut Tasha, dia sebenarnya tidak menjangkakan keadaan kesihatan ibunya akan sampai ke tahap begini. Katanya, ibu kelihatan baik-baik sahaja ketika mula mendapatkan rawatan di wad.

"Sebenarnya tak 'expect' langsung akan sampai jadi tahap macam ni. She looked fine je, masa mula-mula warded (dimasukkan ke wad). Apa apapun, kami sekeluarga yakin yang menyembuhkan itu Allah.

"Sebab itu, saya minta sangat doa semua. Doa kan senjata orang mukmin. Mummy pun kuat semangat. Tapi, itu la dalam keadaan mencuba untuk kuat, kadang-kadang lemah juga, perlukan motivasi," katanya.

Ujar Tasha, bagaimanapun dia sentiasa percaya ibunya seorang yang kuat dan akan kembali sihat.

Katanya lagi, dia sangat berterima kasih dengan sikap ambil berat pengikutnya dan amat menghargainya.

Tasha yang kini sudah meninggalkan kerjaya nyanyian dan bertugas sebagai guru, mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Raqib Majid pada 8 September 2018 lalu.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Muammar Rafiqi yang kini berusia dua tahun. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 1:44 PM