HASIL lukisan Faizdickie disalurkan kepada tabung bantuan Palesti
HASIL lukisan Faizdickie disalurkan kepada tabung bantuan Palesti
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan Ikon Media Sosial, Faizdickie meluahkan rasa teruja apabila lukisan hasil air tangannya yang dibuat sebagai tanda solidariti untuk rakyat Palestin berjaya dijual dengan harga RM1500 kepada seorang pengikut di laman sosial Instagram miliknya. 

Faiz berkata, dia juga tidak menjangka individu yang membida kedua tertinggi turut  bermurah hati menyumbang RM1000 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kepada tabung bantuan Palestin, Malaysia For Syria berjumlah RM2500.

"Alhamdulillah, hasil sokongan #villagepeople, lukisan saya yang bertajuk Itu Tanah Mereka yang dibuat sebagai tanda solidariti untuk rakyat Palestin berjaya dijual dengan harga RM1500 kepada @hafifizainy. Terima kasih atas kemurahan hati awak. Semoga rezeki dipermurahkan.

"Lebih menarik lagi, insan yang membida kedua tertinggi telah turut bermurah hati untuk menyumbang RM1,000 lagi menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan adalah RM2500. 

"Keseluruhan sumbangan ini saya berikan dan diterima oleh pihak Malaysia For Syria untuk dimasukkan ke tabung bantuan Palestin yang sedang diuruskan mereka," katanya. 

Menerusi hantaran sama di Instagram, Faiz berharap sumbangan kecil itu dapat membantu meringankan beban penduduk Palestin yang sedang diserang rejim Zionis ketika ini. 

"Terima Kasih sekali lagi dan semoga sumbangan yang tak seberapa kami ini dapat memberi sedikit bantuan kepada saudara Islam kita di Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 1:02 PM