Ruhainies dalam drama Cukup Derita Itu.
Ruhainies dalam drama Cukup Derita Itu.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies sanggup 'berkorban' dari segi penampilan dengan menjayakan watak Ellaini iaitu seorang gadis kampung menerusi drama Cukup Derita Itu (CDI) yang ditayangkan di Slot Samarinda, TV3.

Ruhainies, 29, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia tidak mahu dilabel sebagai pelakon yang kerap menerima watak hampir sama atau digelar pelakon stereotaip.

"Alhamdulillah, banyak yang memberikan reaksi yang baik untuk watak ini. Saya berharap penampilan dalam drama CDI ini mampu tonjolkan bakat lakonan saya sebaiknya.

"Sebab sebelum ini, mungkin ada yang kerap tonton saya pegang watak orang kaya, hidup di kota dan seumpamanya. Jadi kali ini, saya cuba alih pada sisi berbeza dengan menerima tawaran gadis yang dilayan bak 'Cinderella' iaitu Ellani.

"Kalau boleh, saya tak mahu orang hanya fikir saya ni pelakon stereotaip atau asyik bawa watak orang kaya saja. Malah, saya juga hitamkan rambut biar sesuai dengan watak yang dibawa," katanya.

Dalam masa sama, Ruhainies berkata, dia mahu cabar diri dan berkeyakinan untuk memberikan yang terbaik hasil tunjuk ajar semua pihak terbabit dalam drama itu.

"Naskhah agak berat. Saya pernah bawa watak yang seolah sama sebelum ini, cuma ia bukanlah dalam drama yang banyak episod.

"Jadi, sudah tentu ada ketika memenatkan kerana saya perlu bermain dengan emosi di dalam kebanyakan babak. Saya fikir, inilah masanya untuk buktikan sesuatu. Pada masa sama, nak cabar diri. Hampir empat bulan juga kami menjalani penggambaran dan ia banyak berikan pengalaman berharga.

"Syukur dan bertuah apabila pengarah, Along Kamaludin bersama pelakon lain turut sama saling membantu demi menghidupkan watak masing-masing. Saya sedia maklum, ramai yang menantikan bagaimanakah hasil CDI apabila naskhah novel diadaptasi ke televisyen. Harapnya penonton tak kecewa dan puas hati, insya-Allah," katanya.

CDI adalah karya Siti Rosmizah turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Hisyam Hamid, Jasmin Hamid, Didie Alias dan Chacha Maembong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 1:53 PM