Amir Hasan
Amir Hasan
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 12 Mei hingga 7 Jun selain larangan merentas negeri dan daerah ketika Aidilfitri menggusarkan penyanyi, Amir Hasan apabila memikirkan keadaan ibunya di Raub, Pahang.

Amir yang juga anak tunggal berkata, dia agak tertekan kerana tidak dapat pulang ke Raub lebih-lebih lagi apabila memikirkan keadaan ibunya yang juga ibu tunggal selepas pemergian suami pada Ramadan tahun lalu.

"Jadi, sebagai anak tunggal, tentunya saya sangat risaukan keadaan ibu lebih-lebih lagi apabila Aidilfitri menjelma. Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah pada penghujung tahun lalu," katanya.

Ditanya mengenai keadaan ibunya, Amir berkata, dia menghubungi ibunya setiap malam untuk bertanya khabar.

"Setiap malam saya menelefonnya untuk bertanya khabar. Dia maklumkan, dia okay saja. Tapi, mestilah saya akan risau sebab dia ibu saya.

"Di sana, ibu berniaga kuih tak jauh dari rumah. Saya tahu, walaupun dia kata dia okay tapi dia pun sebenarnya risau juga sebab saya tak dapat pulang ke kampung," katanya.

Berkongsi mengenai sikap segelintir selebriti yang sesuka hati melanggar prosedur operasi standard (SOP), Amir turut meluahkan rasa kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku.

"Kalau mereka merentas negeri atas urusan kerja, itu tak menjadi masalah. Masalahnya adalah apabila ada yang mengambil kesempatan dan melencong ke tempat lain.

"Saya tak marah sebab semua dah besar dan boleh fikir sendiri. Tapi, saya jadi marah apabila tindakan mereka itu menjadi punca dan menyebabkan orang lain yang tak dapat merentas negeri," katanya.

Terbaru, Amir tidak hanya berkarya sebagai penyanyi, tetapi juga giat menghasilkan karya untuk beberapa artis tanah air.

"Rezeki saya nampaknya bukan di atas pentas, tetapi lebih kepada menghasilkan lagu untuk artis lain. Namun, Insya-Allah, selepas Aidilfitri, saya rancang untuk keluarkan lagu saya sendiri.

"Saya terima dengan hati terbuka apabila saya dilabel sebagai komposer dan penulis, namun saya takkan lupakan cinta pertama saya iaitu sebagai penyanyi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 11:17 PM