Pengacara, Awal Ashaari dan Scha Alyahya melancarkan produk Schambal, turut hadir, anak mereka, Lara Alana dan Lyla Amina di Cook House, Glo Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Pengacara, Awal Ashaari dan Scha Alyahya melancarkan produk Schambal, turut hadir, anak mereka, Lara Alana dan Lyla Amina di Cook House, Glo Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara terkenal Scha Alyahya yang mengidam makanan pedas ketika hamil anak kedua membawa kepada penghasilan produk Schambal.

Scha, 38, atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, berkata, produk yang dikeluarkan menggunakan jenama Amina Food itu dinamakan sempena anak keduanya, Lyla Amina.

"Idea menghasilkan produk ini ketika mengandungkan anak kedua. Saya dulu pernah menghidap appendiks, jadi selepas itu memang serik makan makanan pedas. Memang sudah bertahun lamanya tidak makan makanan pedas, tapi apabila mengandungkan Lyla, saya teringin nak makan makanan pedas.

"Kebetulan ketika itu ramai yang bagi sambal pada saya, dan saya tersangkut, tapi sambal yang diberikan kebanyakannya adalah sambal basah. Jadi saya cakap pada Awal, saya mahukan yang mudah dan segera.

"Dari situlah terhasilnya Schambal, yang mana saya juga sukakan jenis garing bersama ikan bilis dan tempe. Kami mengambil masa setengah tahun untuk keluarkan produk ini," katanya.

Menurut Scha, dia dan Awal sudah menyimpan niat lama untuk menghasilkan produk makanan kegemaran mereka.

"Sudah lama saya dan Awal menyimpan niat untuk menghasilkan produk makanan kegemaran kami, bersama peminat yang tersayang. Alhamdulillah, kini baru terlaksana.

"Kami abadikan juga nama anak bongsu kami, Amina sebagai jenama produk ini. Diharap mampu membuka peluang rezeki buat ramai orang di luar sana. Pencarian stokis akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Schambal pasti menambat selera, rangup, pedas dan mudah dinikmati bersama hampir semua makanan kegemaran anda," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 11:29 AM