BARISAN artis Sony Music beri nafas baharu untuk lagu Selamat Hari Raya.
BARISAN artis Sony Music beri nafas baharu untuk lagu Selamat Hari Raya.
Georgie Joseph

BAHANG kemeriahan Syawal tahun ini semakin dirasakan walaupun sebahagian daripada kita terpaksa menyambutnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, Sony Music Malaysia tampil menyemarakkan mood raya tahun ini dengan versi segar Selamat Hari Raya.

Menampilkan penyanyi muda Aisha Retno, Bael0n, Harris Alif, Khodi, Liesl Mae, Qiff, Rasyad, Syabil, dan Vanessa Reynauld, semestinya aura dibawakan lagu ini cukup tersendiri.

Lagu nyanyian asal biduanita negara Allahyarham Puan Sri Saloma ini sememangnya tinggi nilai estetika serta tak lapuk dek zaman.

Namun, pembaharuan dibawakan lapan penyanyi terbabit membawa Selamat Hari Raya ke dimensi lebih moden.

Berbekalkan paduan suara dengan warna berbeza, versi baharu ini adalah perwakilan kepada nuansa muzik generasi millenium terkini yang juga popular dengan terma millennial.

Penerbit muzik dan komposernya Euwyn Tan mengakui inspirasi susunan muzik yang digubahnya bersama Ross Farren cukup moden.

KHODI teruja dapat menyanyi lagu Saloma.
KHODI teruja dapat menyanyi lagu Saloma.

"Saya ingin mencipta susunan yang moden tetapi masih mengekalkan elemen tradisional dan ceria. Saya mengambil inspirasi daripada lagu Valerie oleh Amy Winehouse yang popular dan juga senang untuk didendangkan.

Muzik kumpulan acapella Pentatonix juga menjadi inspirasi penting memandangkan saya bekerja dengan ramai penyanyi. Mereka semestinya perlu menekankan keaslian asal mood asalnya yang ceria dan bertepatan dengan suasana tradisional sambutan Aidilfitri," katanya.

Semestinya menggabungkan lapan penyanyi itu menjadi tunjang penting betapa istimewanya karya ini. Euwyn tidak melihat aspek itu sebagai cabaran langsung sebaliknya bersyukur kerana ia menjadi kelebihan utama Selamat Hari Raya.

Hakikatnya, dia seronok apabila keceriaan itu lebih terserlah dengan kepelbagaian suara mereka. Kepelbagaian corak nyanyian penyanyi yang terbabit juga menjadikan gabungan itu lebih berwarna-warni.

"Semua penyanyi yang terbabit mempunyai suara suara unik dan disebabkan itu, lebih mudah untuk saya membahagikan bahagian mereka. Ada yang lembut, lantang, bernada tinggi dan rendah dan juga warna suara yang berbeza-beza membuatkan susunan vokal lebih menarik," katanya.

VANESSA mewakili artis bukan Melayu dalam lagu ini.
VANESSA mewakili artis bukan Melayu dalam lagu ini.

Apapun, semestinya proses pembikinannya juga berdepan cabaran tersendiri apalagi mengetengahkan lagu yang sudah terlalu ikonik dan mesra di telinga ramai. Maklum saja, gubahan terhadap karya sebegini perlukan ketelitian yang bijak.

Euwyn berkata, dia perlu mencari titik pertembungan terbaik antara era tradisional dan moden untuk lagu ini.

"Cabaran untuk membuat susunan lagu ini adalah apabila kami cuba untuk membawa lagu tradisional yang dimainkan setiap tahun ke era lebih moden.

Bagaimanapun, kami sedar sebenarnya itulah kekuatan lagu ini. Yang menjadi sedikit sukar pun hanyalah untuk gabungkan suara mereka agar lebih harmoni," katanya.

Selain mahukan lagu ini menceriakan suasana Syawal serta menghiburkan halwa telinga pendengar, Euwyn bangga apabila Selamat Hari Raya menampilkan penyanyi berbilang kaum.

Elemen itu saja sudah cukup memberi mesej besar bahawa kemeriahan sambutan apa jua perayaan di Malaysia dikongsi tanpa mengira bangsa.

"Kami mahu orang ramai menyanyi dan meraikan lagu Selamat Hari Raya ini sebagaimana kami dapat menyatukan lapan artis dalam sebuah karya ini. Ia juga adalah lambang perpaduan negara kita yang berbilang bangsa dan agama tetapi masih boleh berkumpul untuk menyambut Aidilfitri sama-sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:30 AM