ALIF ketika dirawat di pusat kuarantin Maeps, Serdang.
ALIF ketika dirawat di pusat kuarantin Maeps, Serdang.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi baru Aliff Iskandar berkongsi khabar gembira apabila dirinya semakin sihat selepas disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Alif yang kini berada di pusat kuarantin di MAEPS Serdang berkata, dia masih perlu menjalani beberapa prosedur sebelum dibenarkan keluar.

Mula mengadu demam dan tidak sedap badan sejak 28 April lalu, Aliff tidak menunggu lama untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik swasta pada keesokan harinya sebelum disahkan positif sehari kemudian. 

"Memang saya alami demam panas, sesak nafas, batuk dan sakit kepala pada waktu itu. Saya pengsan tiga kali di rumah. Namun, saya tak tunggu lama dan terus melakukan ujian swab memandangkan tidak pernah mengalami seperti itu sebelum ini. 

"Bila dapat sahaja keputusan, klinik itu memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan saya 'dijemput' ambulans malam itu juga untuk dikuarantin di MAEPS Serdang," katanya.

Menurut Aliff, dia bersyukur tidak mengalami komplikasi teruk, malah gejala demam dan batuk yang dialaminya juga sudah pulih. 

"Memang keadaan saya agak lemah pada peringkat awal. Namun, beberapa hari kemudian semuanya semakin baik dan saya dapat rasakan perubahan itu. Saya beruntung kerana tidak mengalami komplikasi yang serius seperti segelintir orang. 

"Di sini saya diberikan layanan baik dan kami sama-sama membuat pelbagai aktiviti seperti mana yang disarankan petugas kesihatan. Jangan takut, semuanya akan baik-baik sahaja," katanya.

Dalam pada itu, rakan serumahnya juga sudah melakukan ujian saringan dan mereka didapati positif seminggu kemudian.

Manakala pihak pengurusan tempat dia belajar juga sudah melakukan beberapa saringan untuk mengenal pasti kontak rapat. 

Pun begitu, sehingga ke hari ini dia sendiri tidak mengetahui punca bagaimana dia dijangkiti Covid-19. 

Menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran untuknya berhati-hati pada masa hadapan, Aliff memohon maaf kepada semua kenalan dan kontak rapatnya yang terpaksa melakukan kuarantin selepas dirinya disahkan positif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:29 PM