NADIA Brian.
NADIA Brian.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, semuanya sudah berakhir. Saya harap selepas ini masing-masing boleh meneruskan kehidupan dengan baik."

Itu kata pelakon Nadia Brian selepas Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam, mengesahkan perceraiannya dengan bekas suami, Muizz Nasruddin yang dilafazkan di luar mahkamah pada 2 April lalu.

Nadia, 30, atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi berkata, dia mahu tutup buku lama dan kisah hitam yang berlaku dengan memulakan kehidupan baharu yang lebih segar.

"Nak menunggu perkara ini selesai agak lama juga disebabkan mahkamah tak dibuka akibat Covid-19. Selepas lama tertunda, Alhamdulillah selesai juga. Saya mahu tutup buku lama, kisah hitam dan tak nak ungkit lagi.

"Semua pasangan yang berkahwin memang nak perhubungan itu kekal sampai bila-bila, tapi apabila berakhir dengan perceraian, kena terima juga ketentuan itu.

"Apa boleh dikatakan, masing-masing ada kesalahan. Jadi, apa yang berlaku ini kami boleh muhasabah diri dalam meneruskan kehidupan selepas ini," katanya kepada Harian Metro.

Nadia yang popular menerusi drama Aku Yang Kau Gelar Isteri berkata, dia tidak menyimpan dendam dengan bekas suami.

"Buat apa nak berdendam sebab tak ke mana pun. Kalau berdendam, Allah akan sempitkan rezeki kita. Sekarang ini satu dunia bersedih dengan kematian akibat Covid-19. Kita pun akan mati juga nanti.

"Jadi, apa berlaku biarlah berlalu. Saya tidak akan ungkit apa-apa pun. Saya hanya nak mulakan hidup baru dan belajar daripada kesilapan. Kalau pun ada jodoh selepas ini, saya harap kesilapan sama tidak berulang. Saya doakan dia bahagia dalam kehidupan dan berharap dia doakan saya juga.

"Saya percaya apa yang berlaku ini ada hikmah. Perkahwinan saya tak dikurniakan cahaya mata pun pasti ada hikmahnya. Insya-Allah, pasti akan ada sesuatu yang baik selepas ini," katanya.

Terdahulu, pergolakan hubungan berlaku antara Nadia dan Muizz mula dihidu sejak Oktober lalu.

Tidak sampai setahun hidup bersama, mahligai rumah tangga mereka retak menanti belah. Pasangan itu berkahwin pada 9 November 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 2:29 PM